Abdul Hadi Awang PAS GE14 14th General Election Perikatan Nasional Islam Muslim
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Tiada sesiapa yang boleh melarang mana-mana individu   untuk menyebutkan perkataan Allah, sama ada seorang Muslim atau apa sahaja anutan agama selain daripada Islam.

Ia termasuklah penganut agama yang melantik paling banyak Tuhan, bahkan golongan yang tidak beragama dan ateis (tidak percaya akan adanya Tuhan), juga tidak boleh dilarang menyebutkan perkataan Allah, jika ia mahu diucapkan atau ditulis.

Malah, tidak boleh juga dilarang kepada golongan yang berpelajaran tinggi, termasuklah orang yang paling bodoh dan buta huruf.

Bahkan golongan yang paling gila dan tidak siuman serta tidak mempunyai akal langsung pun, jangan sekali-kali melarang mereka daripada menyebutkan perkataan Allah.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, namun perlu diketahui bahawa maksud perkataan Allah yang sebenar adalah mengikut asal usul daripada bahasa Arab yang menjadi bahasa asal bagi al-Quran.

”Perkataan Allah asalnya tidak terdapat dalam bahasa lain, termasuklah dalam bahasa Melayu, Turki, Parsi, Urdu dan bahasa lain daripada majoriti penganut Islam. Maka, perkataan Allah juga tidak berasal daripada bahasa Inggeris, Eropah, Asia dan Afrika yang bukan daripada bahasa Arab.

”Semua bangsa yang menganut Islam tidak menterjemahkan perkataan Allah dalam bahasa masing-masing kerana tiada perkataan yang seerti dengannya. Sehingga Kamal Ataturk pun gagal memaksa Turki untuk menterjemahkan makna bagi perkataan solat dan azan ke dalam bahasa Turki,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambahnya, jika sebutan Allah mahu dipinjamkan kepada mana-mana penganut agama atau bangsa lain, maka ia tidak boleh mencapai maksud asal perkataan Allah kerana kepercayaan mereka bercanggah dengan perkataan Allah mengikut asal perkataan dalam bahasa Arab.

Semua bahasa terdapat perkataan yang memberikan makna Tuhan dan mengikut bahasa Arab disebut dengan perkataan ‘Ilah’, manakala dalam bahasa Melayu dengan perkataan Tuhan atau bahasa lamanya dengan nama Dewata Mulia Raya, Sang yang Tunggal.

Selain itu, bahasa Eropah dengan perkataan ‘God’, bahasa Parsi dan Urdu dengan perkataan Khuda dan perkataan lain.

Namun, semua perkataan tersebut tidak mencapai maksud sebenar sebagaimana perkataan Allah dalam bahasa Arab.

Lantaran itu, katanya, kita tidak boleh melarang sesiapa sahaja untuk menyebutkannya.

Akan tetapi, sekiranya sebutan kalimah Allah menyalahi daripada makna yang asal, seseorang itu hendaklah menanggung kesalahannya.

Oleh itu, tambah Abdul Hadi, jika penganut setiap agama menyebutkan perkataan Allah mengikut kepercayaan masing-masing akan adanya Allah (Tuhan), itu adalah hak kebebasan beragama.

Terdapat juga agama selain daripada Islam yang menggunakan perkataan Allah, termasuk masyarakat Arab yang tidak beragama Islam atau bukan Arab juga mengguna pakai perkataan Allah.

”Saya pernah mendengar seorang sami Hindu menyebut ‘Yalla’ di hadapan saya dalam doa dan manteranya ketika dalam suatu majlis dialog.

“Semua perkara dilihat kepada tujuannya. Jika tujuannya untuk mengelirukan atau menghina penganut Islam, maka ada sempadan (batas-batas) dan hukumnya.

”Begitulah kalau diizinkan kepada hospital sakit jiwa yang hendak menghargai dan menggembirakan bekas pesakit yang telah mendapat rawatan dengan mengurniakan ijazah yang membawa gelaran profesor. Kita terserah apa sahaja perasaan orang Inggeris kalau menggunakan perkataan dalam bahasa mereka pada perkara yang tidak munasabah.

‘Namun, apakah perasaan yang sebenar dalam kalangan ilmuwan, sekiranya gelaran itu diberikan kepada orang-orang yang sedemikian?,” ujarnya.

Abdul Hadi berkata, semua pihak perlu meletakkan kebijaksanaan masing-masing dan menjaga sensitiviti dalam konteks masyarakat majmuk mengikut sempadannya yang sebenar dan secara saksama. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Adakah mahkamah mengambil kira juga pandangan ini atau hanya berdasarkan kepada penafsiran masing2?

    Sebab itu penting mendalami bahasa dan kesusteraaan Arab, bahasa dunia dan akhirat, bahasa Al Quran. Kita2 lain tidak menggunakan bahasa terlengkap ini!

Comments are closed.