MITI approval letter Mohamed Azmin Ali essential services sector
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memberi bayangan bahawa lebih ramai wakil rakyat pembangkang akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), selepas ini.

“1+1+1+…… dan seterusnya. Alhamdulillah. Kekal tenang,” katanya dalam ciapan ringkas, selepas pengumuman Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar meletakkan jawatan Naib Presiden PKR dan keluar parti itu hari ini.

Dengan pengumuman Xavier, tahun ini sahaja tiga pemimpin PKR telah mengumumkan keluar parti.

Sebelum ini dua Ahli Parlimen PKR iaitu Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon dan Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien, mengumumkan keluar parti 28 Feb dan memberi sokongan kepada PN.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut tidak menolak kemungkinan lebih ramai pemimpin pembangkang di peringkat pusat, akan menyertai PN dalam masa terdekat.

“Akan ada beberapa lagi pemimpin yang akan menyertai kita, sama ada Bersatu atau parti-parti lain di dalam PN, bukan sahaja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A. Sivasubramaniam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada Akademi Bola Sepak DRZ, di Padang Bola Sepak Tanjung Rambutan di Perak, hari ini.

Mengenai hubungan Bersatu dengan UMNO ketika ini, ADUN Chenderiang itu berkata, ia berjalan dengan baik dan beliau secara peribadi tiada masalah untuk bekerjasama dengan UMNO di peringkat pusat atau negeri.

Turut memberi bayangan sama bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa, yang menyifatkan ia bukan perkara yang mengejutkan jika lebih ramai Ahli Parlimen memberi signal menyokong kerajaan PN, berikutan usaha yang dilakukan kerajaan untuk mengawal pandemik COVID-19, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, program pemulihan ekonomi dan berjaya mengekalkan kestabilan negara.

“Difahamkan selain Datuk Dr Xavier, ada tujuh hingga lapan orang Ahli Parlimen yang ada, memberi indikasi bersedia menyokong kerajaan PN. Kalau kerajaan ini berprestasi maka akan ramai bersedia memberi sokongan,” katanya kepada media selepas program tinjauan mesra ke kiosk usahawan muda kota dan Anjung Floria, di Putrajaya hari ini.- BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.