Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Parlimen Kepong bersedia membantu orang ramai yang dikenakan saman RM10,000 atas kesalahan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Parlimennya, Lim Lip Eng berkata, beliau akan membantu untuk membuat rayuan bagi mengurangkan saman yang dikenakan.

Katanya, keutamaan diberikan kepada mereka yang disaman kali pertama dan juga dari golongan B40.

“Saya nak beritahu, kalau anda kena denda RM10,000 sebab langgar SOP PKP tapi sebab tidak logik, biar Pusat Khidmat Parlimen Kepong bantu anda.

“Berkuatkuasa semalam, denda yang dikenakan terhadap individu ingkar SOP telah dinaikkan dari RM1,000 kepada RM10,000. Sudahlah begitu, kadang-kala alasan dan sebab mereka didenda juga tidak munasabah dan yang sering menjadi mangsa denda adalah mereka dari golongan kurang berkemampuan.

“Kami akan membantu untuk membuat rayuan bagi mengurangkan saman yang diberikan. Keutamaan kami adalah kepada mereka yang yang disaman buat kali pertama dan juga mereka yang dari golongan B40,” katanya dalam ciapan Twitternya semalam.

Mulai Khamis lalu, individu yang dikompaun kerana melanggar SOP PKP akan dikenakan kompaun RM10,000.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, ia susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai jam 12.01 tengah malam itu.

Namun, ujarnya, denda itu boleh diturunkan sehingga RM50, mengikut budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah.

Lip Eng juga mengingatkan rakyat yang dikenakan denda, tetapi ada pihak cuba menyelesaikan isu itu melalui pemberian duit kopi, supaya jangan akur, sebaliknya terima sahaja saman berkenaan kerana beliau akan menolongnya.

“Pada masa sama, rakyat juga diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP dan berhati-hati.

“Bagi mereka yang tinggal di luar kawasan Kepong, hubungi dahulu ADUN dan Ahli Parlimen kawasan anda.

“Cuba minta bantuan mereka. Jikalau mereka tak dapat bantu atau tidak menyediakan khidmat berkenaan, hubungi kami,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast