Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin

PUTRAJAYA –  Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberi isyarat kepada barisan kepimpinan baharu Jawatankuasa Eksekutif FAM supaya bersiap sedia berkerja keras demi pembangunan bola sepak negara.

Beliau akan melaksanakan berapa tindakan drastik pada kadar segera demi memperkasa FAM supaya lebih agresif merencanakan pelan pembangunan bola sepak mencakupi sumbangan dan idea setiap ahli jawatankuasa FAM.

Katanya, tindakan pertamanya selepas ini mahu mewujudkan satu pasukan tindakan khas melibatkan kad laporan penilaian dan penanda aras kerja setiap exco FAM.

“Saya sedar sejurus saya diangkat semula sebagai presiden FAM sebentar tadi, ramai pasti tertanya-tanya langkah seterusnya bakal saya ambil dalam industri bola sepak negara.

“Pertama, saya akan wujudkan satu predenstial task force dalam mesyurat Exco FAM pertama melibatkan kad laporan penanda aras prestasi setiap ahli jawatankuasa yang dipilih hari ini untuk penggal 2021 hingga 2025.

“Saya sendiri akan umumkan dalam setiap kongres tahunan mengenai KPI pencapaian exco kami dan ini mustahak untuk semua apabila selepas menang pemilihan FAM semua perlu bekerja keras mencurahkan idea dan sumbangan masing-masing.

Sorry kerana ini bukan masa untuk berjenaka lagi sebab anda sudah berkempen hendak menang dan kini sudah dipilih untuk lima tahun akan datang.. jadi buat kerja secara serius dan bersungguh-sungguh bantu saya,” katanya dalam sidang media selepas Kongres Tahunan Ke-57 FAM 2021 hari ini.

Beliau tidak mahu lagi dianggap hanya bekerja seorang diri dalam FAM seperti andaian ramai pihak sebelum ini.

Justeru beliau tidak mahu anggapan itu berulang dalam kempimpinan baharu FAM dan mereka mesti bertanggungjawab kepada para pemegang taruh, penaja, media dan penyokong yang sentiasa memerhatikan kerja dan sumbangan mereka.

Beliau juga mengakui prestasi pasukan kebangsaan dikritik dan tempiasnya terkena pada FAM.

“Jadi, saya faham daripada barisan exco baharu yang dipilih hari ini hanya 20 hingga 30 peratus adalah muka baharu yang mungkin memerlukan sedikit masa untuk mempelajari FAM.

“Tetapi ia bukan jadi alasan sepanjang masa sebaliknya perlu bersungguh-sunggub membantu saya membangunkan FAM disamping meneruskan visi yang dirangka dan ditetapkan termasuk F:30 iaitu menjadikan skuad bola sepak antara lima pasukan terbaik Asia menjelang 2030,” katanya.

Keduanya, Hamidin ingin mewujudkan Industri Pelancongan Bola Sepak untuk bertujuan mendekatkan sukan berkenaan dengan rakyat tempatan dan antarabangsa.

“Saya ada seberapa agenda lagi tetapi saya tidak boleh dedahkan semua sekarang dan ia tidak elok. Biar saya mengadakan mesyuarat Exco FAM pertama minggu depan dan membincangkan semua agenda baharu yang mahu direncanakan,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hamidin kekal Presiden FAM