Asmuni (tengah) mengetuai barisan Exco dan ADUN PH Perak menyatakan sokongan kepimpinan Menteri Besar
Asmuni Awi

IPOH – Pengagihan kerusi antara Parti Amanah Negara (Amanah) Perak dengan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri akan dibincangkan Khamis depan sebagai persiapan kedua-dua parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Amanah negeri, Datuk Asmuni Awi berkata, bagaimanapun perbincangan itu nanti akan melibatkan beberapa siri perundingan dan dijangka tidak akan selesai dalam masa sehari.

“Selepas kita selesai mengadakan rundingan, kita akan rujuk kepada kepimpinan parti yang akan menentukan keputusan dan analisis mengenai pengagihan kerusi nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mengulas mengenai hasrat  DAP Perak yang mahu bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15, Asmuni berkata perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama kepimpinan parti DAP.

“Tetapi kita kena lihat kepada kepentingan politik antara parti, tidak boleh main lontar-lontar (isu pengagihan kerusi) begitu sahaja kerana perlu lihat kepada kesan politik parti sama ada ia positif atau sebaliknya.

Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming semasa berucap di Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak ke-19 hari ini berkata parti itu berhasrat untuk bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15. – Bernama

1 Komen

Comments are closed.