Edmund Santhara

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin patut mengarahkan siasatan bagi menentukan sama ada Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Edmund Santhara mempunyai taraf pemastautin tetap (PR) New Zealand.

Datuk Mohd Puad Zakarshi berkata, siasatan itu perlu bagi menjawab tindakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan yang diberi kelulusan 55 hari bercuti di New Zealand.

”Adakah Edmund Santhara memiliki taraf Pemastautin Tetap (Permanent Resident/PR) negara New Zealand? Jika benar Edmund Santhara ada PR New Zealand, adakah dia terpaksa bermastautin setiap tahun di sana dalam tempoh tertentu untuk mengekalkan status PR itu?,” soal Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

Jika benar, patutlah Edmund berada di sana dalam tempoh tertentu untuk mengekalkan status PR.

”PM patut arah siasat. Bahkan arah Timbalan Menteri itu balik segera. Rakyat Segamat mesti marah,” ujarnya.

Sebelum ini persoalana sama turut dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Menerusi hantaran di Facebook beliau pada 12 Mac lalu, Hassan mempersoalkan keberadaan Edmund.

”Di mana YB Edmund Santhara, Ahli Parlimen Segamat merangkap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan sekarang? Saya perlu bertanya kerana rasa bertanggungjawab bahawa selaku Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor yang lalu, saya orangnya yang memberi laluan kepada Edmund Santhara bergerak di Cabang Segamat dan akhirnya menyokong beliau menjadi calon Keadilan/PH di Parlimen Segamat.

”Bilakah YB Edmund Santhara akan pulang berkhidmat di kawasan parlimennya Segamat?,” tanya Hassan.

Hassan bertanya, adakah Edmund Santhara memiliki taraf PR negara New Zealand dan adakah beliau terpaksa bermastautin setiap tahun di sana untuk mengekalkan status PR tersebut.

Tidak cukup dengan soalan itu, Hassan turut mempersoalkan di negara manakah timbalan menteri itu membayar cukai – sama ada cukai harta ataupun cukai pendapatan. – MalaysiaGazette