Penduduk kampung melakukan gotong-royong membersihkan sampah sarap yang berada di sekitar Sungai Air Hitam, Kampung Dato' Abu Bakar Baginda, Selangor. Foto SHAFIY ZUL, 14 MAC 2021.

KAJANG – Bersempena Hari Air Sedunia, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyasarkan pengurangan penggunaan isipadu air domestik harian kepada 180 liter per kapita.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ir. Zaini Ujang berkata, rakyat ketika ini menggunakan sehingga 230 liter per kapita setiap hari dan penggunaan itu perlu dikurangkan sebanyak 50 liter per kapita.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang bercakap kepada media selepas melakukan gotong-royong membersihkan sampah-sarap bersama penduduk kampung yang bertempat di Sungai Air Hitam, Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Selangor. Foto SHAFIY ZUL, 14 MAC 2021.

“Sasaran kita 180 liter jadi kita perlu kurangkan 50 liter.

“Ada banyak cara salah satu daripadanya jangan mandi terlalu lama kalau boleh 10 liter sahaja dan ia terpulang kepada individu itu bagaimana mahu mandi dengan 10 liter air sahaja.

“Kedua, kalau ambil air wuduk jangan lah membazir, gunakan air secara berhemah.

“Ini kerana masyarakat kata air mereka bayar tetapi saya kata air disubsidi jadi sampai bila-bila pun tidak akan habis. Jadi jimatkan lah air sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai penggunaan air secara berlebihan oleh rakyat di negara ini.

Isipadu penggunaan air domestik dimaksudkan bagi kegunaan aktiviti harian seperti minum, memasak, mandi, mencuci, sanitari serta lain-lain oleh seorang penduduk sehari.

Terdahulu Zaini bersama lebih 100 penduduk Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda menjalankan aktiviti gotong-royong dengan mengutip sampah-sarap di kawasan tebing dan dalam Sungai Air Hitam di sini bersempena Hari Tindakan Sungai Antarabangsa.

Dalam pada itu, KASA menerusi satu kenyataan memaklumkan Hari Air Sedunia akan diraikan di peringkat kebangsaan pada 27 Mac ini dengan menjalankan gotong-royong perdana di Dataran Sungai Langat berhampiran Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka merasmikan program tersebut yang bertujuan memupuk semangat tanggungjawab bersama di antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan persekitaran yang lestari khususnya di kawasan badan air. – Malaysia Gazette