Foto Youtube.

KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menentang tindakan segelintir penyokong yang dikhuatiri boleh memberikan kesan buruk kepada Liga Malaysia musim 2021.

Ini susulan tindakan sekumpulan penyokong yang berhimpun di luar perkarangan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum perlawanan Liga Super 2021 membabitkan Selangor dan Kuala Lumpur City FC, petang semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, tindakan itu jelas melanggar perintah kerajaan yang melarang sebarang perhimpuan dalam tempoh pandemik Covid-19 di mana perlawanan Liga Malaysia ketika ini masih berlangsung tanpa penyokong di Stadium.

Sebaliknya, perbuatan penyokong itu akan memberikan kesan kepada usaha MFL dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang telah memohon rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membenarkan kemasukan semula penyokong ke stadium dalam tempoh terdekat.

“MFL sangat kesal dengan perbuatan segelintir penyokong yang bertindak membuat perhimpuan di luar stadium di mana ia jelas menyalahi tuntutan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam PKP ini.

“Kesannya bukan sahaja memberikan impak kepada Liga Malaysia sebaliknya ia turut merencatkan usaha MFL dan KBS untuk membawa masuk kembali penyokong-penyokong selepas setahun tiada kelibat penonton di stadium disebabkan pandemik COVID-19.

“Saya menggesa semua pihak agar lebih sensitif dengan situasi pandemik COVID-19 di mana mereka seharusnya bijak memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan dengan cara betul selaras tuntutan SOP.

“Oleh yang demikian, saya berharap insiden seperti ini tidak akan berulang lagi di Stadium MBPJ yang berlaku petang hari ini [semalam] dan di semua venue Liga Malaysia yang jelas telah melanggar SOP COVID-19.

“Saya meminta agar semua penyokong hormati garis panduan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette