Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan kegusaran terhadap keutuhan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Ia susulan penggubalan Ordinan Darurat (Kuasa- Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang telah berkuatkuasa mulai 12 Mac 2021 yang dikatakan bertujuan khusus membendung penyebaran berita palsu.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ABIM berpendirian bahawa ordinan yang dikuatkuasakan ini mengandungi beberapa persoalan berat yang membimbangkan.

Antaranya ialah konteks definisi kesalahan dan hukuman berat yang seharusnya perlu diperhalusi melalui proses demokrasi menerusi mekanisme yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, tindakan kerajaan menggubal undang -undang ini dengan membelakangkan institusi Parlimen adalah jelas berlawanan dengan prinsip semak dan imbang serta konsep pengasingan kuasa.

Ini terutama sekali apabila undang-undang tersebut bersangkut rapat dengan soal kepentingan rakyat dan negara, menurut beliau.

”ABIM menilai penggubalan Ordinan Darurat terbaharu ini boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa pihak eksekutif untuk menguatkuasakan lebih banyak perintah dan undang-undang secara berleluasa pada masa akan datang tanpa melalui saluran semak dan imbang menerusi persidangan Parlimen.

”Maka, di sini ia memberi justifikasi munasabah untuk sidang parlimen diadakan segera. Ini selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaf a Billah Shah, yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, sidang Parlimen tidak seharusnya dimomokkan dengan konotasi negatif kerana institusi berkenaan mempunyai tatacara bagi memastikan proses pembentangan dan perbahasan dapat dijalankan sebelum kelulusan Rang Undang-Undang. – MalaysiaGazette