Seorang bekas banduan Penjara Tapah menunaikan solat sebelum diserapkan ke program i-Kembali yang diterajui PERGAK di Pusat Ghulam Recovery Care Cantre (GRCC), Sepang. foto SYAFIQ AMBAK, 01 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia mahu lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) menguruskan bekas banduan daripada mengulangi jenayah lampau dan dimasukkan semula ke dalam penjara.

Meskipun angka kemasukan semula ke dalam penjara rendah ketika ini iaitu kira-kira 0.4 peratus melalui sistem parol namun program pemulihan dalam komuniti itu perlu diteruskan meskipun telah tamat hukuman penjara.

Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata, bekas banduan masih memerlukan sokongan moral berterusan kerana golongan ini masih mempunyai masalah pemikiran dan keyakinan diri.

 

Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak

“Saya harap lebih banyak lagi NGO untuk menguruskan bekas-bekas banduan ini untuk bekerja dan dapat dipulihkan serta mengekang daripada terlibat dengan jenayah semula.

“Kita dapati program ini nampak berjaya untuk memulihkan mereka, ketahanan mereka lebih kuat dan lebih bersedia untuk berada dalam masyarakat dan dibimbing.

“Apabila tamat bimbingan itu maka tamat hukuman pemenjaraan itu, saya rasa ia satu usaha baik dan kaedah paling berkesan untuk memastikan bekas banduan ini tidak mengulangi jenayah semula,” katanya ketika ditemui  MalaysiaGazette baru-baru ini.

Menurut Abdul Aziz, sejak sistem parol dilaksanakan di negara ini bermula tahun 2008, hanya 0.4 peratus akan mengulangi jenayah lampau selepas tiga tahun mereka tamat menjalani hukuman penjara.

“Di luar tembok penjara ini, kita telah melaksanakan sistem parol iaitu orang yang diselia (ODS) dan orang yang diparol (ODP) mendapati mereka telah menjalani pemulihan dalam komuniti ini.

“Kita mula pada 2008 sehingga hari ini, saya rasa ia telah beri impak yang besar kepada pemulihan yang kita laksanakan di Jabatan Penjara Malaysia terhadap banduan-banduan ini,” jelasnya.

Jabatan Penjara Malaysia menyambut baik inisiatif Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) membawa bekas banduan menyertai program i-Kembali bagi membantu mereka memperoleh pekerjaan bagi memulakan kehidupan baharu.

Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berucap pada Taklimat I-Kembali bersama penghuni penjara di Penjara Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 SEPTEMBER 2020.

“i-Kembali baru saja dijalankan, mereka menguruskan banduan di bawah satu tahun baki hukuman dan bekas banduan ODS mahupun ODP untuk membetulkan pemikiran dan hala tuju kehidupan.

“Mereka diberi pendedahan-pendedahan iaitu kaedah hypnosis bagaimana mereka bersedia untuk mengubah diri dan kehidupan bagi mengikis stigma bekas banduan itu sendiri,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan ada beberapa pihak swasta sebelum ini yang menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan itu kurang berjaya mengekang daripada kembali jenayah lampau.

“Pihak swasta fokusnya adalah bekerja, dia nak pekerja, tetapi kita jangan lupa bekas-bekas banduan ini mempunyai sedikit masalah dari segi pemikiran, keyakinan diri.

“Ia perlu dimainkan bukan hanya syarikat sahaja, tapi bekas banduan sendiri untuk berubah dan keluarga,” katanya.

Sebaliknya jika majikan memainkan peranan untuk memulihkan bekas banduan, beliau yakin lebih ramai golongan ini akan menyertai syarikat terbabit yang menawarkan pekerjaan dan program pemulihan berterusan.

“Mana-mana syarikat yang mengambil mereka untuk mengubah, memberi pemulihan bersama-sama dengan bekas banduan walaupun mereka seorang pekerja, pada sama mereka juga dipulihkan oleh syarikat-syarikat swasta ini.

“Ianya lebih kukuh, lebih berjaya menarik minat bekas-bekas banduan itu bekerja terus dalam syarikat berkenaan,” jelasnya.

BANTU KURANGKAN KEBERGANTUNGAN PEKERJA ASING

Jabatan Penjara Malaysia boleh membantu pelbagai sektor ekonomi di negara ini untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja buruh asing khususnya sektor pertanian dan perindustrian.

Walaupun ketika ini Jabatan Penjara Malaysia mempunyai lebih 72,000 banduan yang sedang menjalani hukuman, namun hanya kira-kira 11,000 penghuni jeriji besi itu boleh memenuhi kekurangan tenaga kerja.

“Kesemua 11,000 banduan ini untuk tempoh satu tahun hingga dua tahun enam bulan akan datang. Kita kena usahakan mereka keluar ini layak, mereka ini dipertimbangkan dengan prestasi.

Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berucap pada Taklimat I-Kembali bersama penghuni penjara di Penjara Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 SEPTEMBER 2020.

“Bukan layak terus keluar, tapi mereka ini perlu diuji psikologinya, sikap mereka dipantau, barulah layak untuk berada dalam masyarakat (dapat pekerjaan),” katanya.

Jelasnya lagi, setiap bulan pihaknya boleh mengeluarkan kira-kira 600 bekas banduan yang layak diserap dan ditempatkan dalam sektor pekerjaan.

“Kesemua 600 banduan ini nanti akan disaring lagi, kelulusan antara 70 hingga 80 peratus, 20 peratus lagi memang tidak layak dan tidak sesuai berada dalam masyarakat walaupun tempoh dah layak.

“Tapi mereka ini didapati tidak layak oleh jawatankuasa pembebasan ini, yang menilai latar belakang dan prestasi,” ujarnya.

BANK PEKERJAAN  

Sebelum bekas banduan diserapkan dalam sektor ekonomi, Jabatan Penjara Malaysia sudah bersedia dengan Bank Pekerjaan dan ketika ini sebanyak 1,695 pekerjaan sedia untuk ditawarkan kepada bekas banduan yang layak.

“Ada juga yang menyuarakan, saya tidak lagi sesuai di tempat kerja, kita boleh carikan lain sebab kita ada banyak Bank Pekerjaan, yang mana syarikat-syarikat telah bersetuju untuk mengambil bekas banduan.

“Kalau tak sesuai kita boleh cari di tempat lain, sebab itu isu lari daripada tempat kerja tidak timbul, kerana pihaknya kami akan membantu bekas banduan mendapatkan pekerjaan yang sesuai,” katanya.

Menurutnya, keperluan tenaga kerja yang diterima daripada sektor ekonomi termasuk perkhidmatan, peladangan dan perkilangan.

“Bank Pekerjaan ini diuruskan oleh Bahagian Parol mereka membuat promosi outreach dengan syarikat-syarikat yang mahu mengambil ODP dan OBS ke seluruh Malaysia.

“Setiap negeri dia ada bank pekerjaan sendiri, supaya mudah sistem parol ini boleh menempatkan,mereka, dia kerja mana, lokasi mana dan jumlah yang diperlukan,” jelasnya.

Beliau menjangka Bank Pekerjaan ini boleh ditingkatkan lagi sekiranya pandemik Covid-19 dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Bila lebih banyak maknanya, ekonomi kita akan rancak dan memerlukan lebih ramai lagi tenaga pekerja.

“Penjara adalah tempat untuk menempatkan mereka yang melakukan kesalahan dan dipulihkan di situ dan mereka ini kita tukar kepada penjanaan ekonomi negara,” katanya.

Untuk memastikan pemulihan dalam komuniti berterusan, beliau berharap pihak swasta dapat memainkan peranan bersama, walaupun tanggungjawab sosial, ianya akan memberi impak besar kepada negara.

“Bila bekas banduan tidak melakukan jenayah, ia beri impak besar kepada masyarakat, negara aman, makmur dan pelabur-pelabur akan melabur ke negara kita,

“Akhirnya saya lihat di sini seperti negara-negara maju masyarakat perlu menjadi mata dam telinga kerajaan, itu kaedah paling berkesan memulihkan pesalah-pesalah dalam masyarakat.

“Jika semua orang mengetahui dan memahami menghayati undang-undang, saya rasa negara kita aman dan kita dapat fokus peruntukan yang ada ini untuk pembangunan negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Alang mahu simpan rapi sisi hitam demi keluarga