Bekas banduan yang mahu dikenali sebagai Alang yang menjadi peserta program i-Kembali di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang Selangor baru-baru ini. Foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – Seorang lagi bekas penghuni jerigi besi yang hanya mahu dikenali sebagai Alang tidak mahu lagi berpaling lagi selepas tidak dibelenggu dengan lingkaran najis dadah.

Perjalanan hidup wanita berusia 28 tahun dan berasal dari Kampar, Perak itu bermula apabila dia terjebak dengan najis dadah sejak berumur 18 tahun lagi.

Sepanjang 20 tahun terlibat dengan penyalahgunaan dadah jenis syabu, ini merupakan kali pertama dalam sejarah hidupnya terpaksa meringkuk dalam penjara selepas dia ditangkap di kediamannya pada Mac tahun lalu.

Menurut Alang, perbuatannya itu tidak diketahui oleh ibu bapa dan lima orang anaknya yang kini di bawah jagaan bekas suaminya di Kampar, Perak.

“Anak-anak pun tak tahu saya masuk ke dalam (penjara) dan saya sembunyikan kesilapan yang lepas, mereka langsung tak tahu bahawa ibu dia ini adalah seorang penagih dadah.

Peserta, program i-Kembali, Alang di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor baru-baru ini. Foto FAREEZ FADZIL.

“Tiada seorang pun tahu (dia menagih dadah), saya sedaya upaya menyembunyikan diri saya yang jahat daripada mata keluarga saya, anak-anak saya dan bekas suami saya, sehingga Mac tahun lalu saya tertangkap.

“Betullah kata orang, pandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

“Saya tak nak nanti, saya yang buat jahat, keluarga dapat malu, saya tahu benda tu salah, saya tahu benda tu tak betul, tapi hati itu yang nak, diri sendiri yang pilih,” katanya.

REMAN 5 BULAN

Alang kemudiannya dikenakan reman sehingga lima bulan di penjara dan kesnya terpaksa ditangguhkan beberapa kali di mahkamah akibat penularan pandemik Covid-19.

Alang merupakan anak ketiga daripada enam orang adik-beradik di mana dua daripadanya juga dihukum di penjara sama atas kesalahan penyalahgunaan dadah jenis syabu dan mereka juga kini menyertai program i-Kembali.

“Tipulah adik-beradik kalau dia orang tak tahu, ada yang rapat, ada yang tidak, jenis tegur-tegur begitu saja.

“Dalam enam adik-beradik ini, yang terlibat dengan dadah ini ada tiga orang, lagi tiga lagi Alhamdulillah walaupun mereka ada kejahatan masing-masing yang mereka lakukan

“Pandai makan, pandai simpan, dua lagi adik-beradik yang ambil dadah ini, saya tarik mereka masuk program ini (i-Kembali), di mana adik saya sudah tiga bulan, abang pula baru sebulan,” jelasnya.

JAGA AIR MUKA ANAK

Alang mahu dunia gelapnya disimpan rapi dan kekal rahsia kerana dia tidak mahu ia menjadi bahan ejekan kepada anak-anaknya yang kebanyakan bersekolah di asrama.

“Raya pun saya tak balik, bila saya bebas, saya dengar lagi anak saya yang sulung tu, bila saya telefon, dia marah, ibu pergi mana? Kenapa raya tak jumpa kakak? Kakak ada buat salah apa?

Bekas banduan yang mahu dikenali sebagai Alang yang menjadi peserta program i-Kembali di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang Selangor baru-baru ini. Foto FAREEZ FADZIL.

“Saya tak boleh kata apa, saya boleh diam cuma saya mampu cakap, maafkan ibu nak, bukan ibu sengaja nak larikan diri, bukan ibu sengaja tak nak jumpa, cuma itu saja saya mampu cakap dekat anak-anak saya.

“Sekarang bila anak hubungi saya, dia gembira tengok saya berubah, sudah berisi (badan), kalau sebelum ini, dia nak nampak saya cengkung, kurus, tak terurus, muka pun nampak serabut,” katanya.

Alang yang kini menjadi warden wanita di sebuah kolej tidak dapat lari daripada perasaan takut apabila orang mula hilang hormat hanya kerana dia seorang bekas penagih dadah.

“Saya takut hilang keluarga, sekiranya kita nasihat orang, takut mereka tak hormat nasihat kita, alah kau pun bekas banduan, saya tak nak jadi macam itu.

“Biarlah diri saya jahat tapi saya tak nak keluarga saya tahu saya ini jahat, kalau ada apa-apa, mereka minta kongsi pandangan, mereka boleh terima pandangan saya, tak adah orang pertikaikan pandangan saya,” ujarnya.

KEMBALI PANGKAL JALAN

Dia yang dibebaskan pada 27 Ogos tahun lalu percaya tuhan mahu dia berubah secara perlahan-lahan dengan menghantarnya ke Penjara Tapah sebelum kembali ke pangkal jalan.

“Saya berubah sebelum kena penjara lagi, sampai satu tahap saya pegang benda itu, sedut benda itu…meleleh air mata, sampai bila aku nak berubah.

“Alhamdulillah, Allah dengar rintihan hati saya nak berubah dan Allah juga tak nak seksa saya bila berubah secara mendadak nanti saya akan sakit dan saya akan jadi lebih teruk.

“Saya bebas pada 27 Ogos 2020, sejak itu juga saya terus sertai ke dalam i-Kembali,” kongsinya.

Sebaik sahaja melangkah keluar penjara dan menyertai i-Kembali, dia kagum melihat pengasasnya, Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad yang tidak membezakan latar belakang, sedia menerima para peserta program seperti mana insan lain.

Kembali, Alang di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor baru-baru ini. Foto FAREEZ FADZIL.

Lebih terharu buat Alang apabila, Siti Murni bukan hanya menawarkan pekerjaan bahkan dia diberi kepercayaan untuk duduk serumah dengan majikan baharunya sejak hari pertama hingga kini dalam i-Kembali.

“Saya pun tak sangka Datuk boleh ajak duduk serumah, sebelum ini masyarakat pandang negatif kepada bekas banduan, tapi bagi saya Datuk Seri Siti Murni, level VVIP tak pandang negatif langsung dekat saya, pada adik-beradik saya, pada para peserta i-Kembali, langsung tiada negatif.

“Malah dia lagi beri sokongan, itulah saya kata murninya hati dia semurni seperti nama dia. Pengalaman ini saya tak sangka-sangka, sebelum ini kerja saya kebanyakannya kerja berat, susah, panas, membanting tenaga.

“Saya anggap peserta ini keluarga, saya tak nak abang dan adik saya tertekan, kemurungan, saya cuba buat mereka gembira, senyum, itu kerja yang Datuk bagi kepada saya, walaupun tak berat, tapi cukup mencabar,” jelasnya.

Dia tidak dapat membayangkan jika tidak berjumpa dengan Siti Murni, Alang mungkin akan belajar di sekolah pondok untuk mendalami agama.

“Kalau saya tak jumpa Datuk Murni mungkin saya sudah pakai purdah sekarang (kerana malu) dan  saya memang nekad nak keluar daripada kelompok kini, mungkin duduk di Gunung Jerai, belajar pondok di sana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hendak pegang anak sendiri pun tak boleh – Sutun