Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan (tengah) menunjukkan pistol serta dadah yang dirampas polis pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang hari ini. (dua dari kiri) menunjukkan pistol serta syabu bernilai RM5.2 juta yang dirampas polis Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis membongkar kegiatan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah rentas negara susulan penahanan dua lelaki termasuk seorang pengusaha sukan air di Batu Ferringhi di sini baru-baru ini.

Tangkapan membabitkan warga tempatan berusia 54 tahun serta seorang lelaki Bangladesh itu membawa kepada penemuan syabu seberat 144.7 kilogram (kg) bernilai RM5.2 juta yang dipercayai untuk diseludup keluar melalui jalan laut ke Indonesia.

Syabu bernilai RM5.2 juta yang dipercayai untuk diseludup ke Indonesia dirampas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, suspek utama ditahan pada pukul 6.30 petang Jumaat lalu oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan.

Katanya, suspek cuba melarikan diri dengan memandu kereta jenis Mercedes Benz namun berjaya ditahan di kawasan pantai Batu Ferringhi.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek polis menemui 15 bungkus plastik berisi syabu, sepucuk pistol jenama Taurus dan satu kelopak serta kotak hitam berisi 53 butir peluru.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan (tengah) menunjukkan pistol serta dadah yang dirampas polis pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang hari ini.

“Susulan itu, pada keesokan harinya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah teres milik suspek yang dijadikan stor menyimpan syabu di Teluk Bahang.

“Dalam serbuan itu, kita menahan lelaki Bangladesh berusia 35 tahun yang dipercayai pekerja suspek sebelum merampas 129.7 kg syabu dalam sebuan peti besi di dalam rumah tersebut.

“Secara keseluruhan sebanyak 144.7 kg syabu bernilai RM5.2 juta dirampas dalam kedua-dua serbuan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan berkenaan, lima buah kenderaan pelbagai jenis antaranya Mercedes Benz, Volkswagen, Ford Ranger serta Toyota Harrier serta sebuah motosikal jenis Yamaha bernilai RM561,800.

Antara kenderaan milik suspek yang dirampas polis.

Mengulas mengenai modus operandi, Sahabudin memberitahu, suspek aktif sejak setahun lalu dan akan menggunakan bot gentian kaca milik nelayan untuk memindahkan dadah di laut.

“Mereka (bot-bot) akan ke kawasan perairan kira-kira 25 hingga 30 batu nautika dari pantai Pulau Pinang untuk memindahkan dadah ke bot lain sekali gus menyeludup keluar ke negara jiran.

“Kita masih mengesan saki baki ahli sindiket dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Indonesia bagi membantu siasatan,” ujar beliau.

Dua lelaki termasuk pengusaha sukan air ditahan bantu siasatan penemuan syabu di Batu Ferringhi dan Teluk Bahang.

Tambah Sahabudin, kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta 39B Akta Dadah Berbahaya 1953. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis tumpas pengedaran syabu lebih RM5 juta