Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan mempertimbangkan semula kompaun RM10,000 melibatkan kes-kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupupun secara prinsipnya Pemuda UMNO menyokong usaha kerajaan memperketatkan SOP untuk membendung penularan Covid-19, namun jumlah kompaun yang dikenakan itu terlalu tinggi.

“Kompaun ini hakikatnya amat membebankan rakyat lebih-lebih lagi di kala mereka sudah sedia terbeban dengan pelbagai kepayahan bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Asyraf, Pemuda UMNO amat prihatin dengan keluh-kesah rakyat berkaitan pelaksanaan kompaun RM10,000 itu.

Sehubungan dengan itu, pihaknya menawarkan khidmat nasihat guaman percuma kepada orang ramai yang dikompaun dan berasa diri mereka dianiayai akibat tindakan penguatkuasaan SOP PKP atas kesalahan-kesalahan kecil seperti tidak memakai pelitup muka.

Tawaran tersebut, katanya, meliputi nasihat guaman dan representasi peguam kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membuat rayuan pengurangan kompaun untuk kesalahan-kesalahan melibatkan PKP.

Pemuda UMNO juga dalam proses menyediakan platform secara dalam talian untuk individu-individu yang dikompaun bagi membolehkan mereka menghantar maklumat dan mendapatkan khidmat nasihat perundangan.

Barisan peguam dalam kalangan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang akan mengetuai pasukan guaman terdiri daripada:

– Nik Saiful Adli Burhan (Pengerusi Sekretariat Perundangan dan Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia)
– Faridzul Azlan Abd Shani
– Muhamad Nur Aizat Noor Azam

Orang ramai boleh menghubungi dua  talian hotline untuk sebarang maklum balas iaitu:
📍013-7354116
📍013-7354117

— MalaysiaGazette