Datuk T Murugiah

KUALA LUMPUR – Walaupun niat untuk mengekang penularan Covid-19 namun kenaikan kompaun ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada RM1,000 kepada RM10,000 sebenarnya sangat tinggi dan membebankan.

Jumlah itu juga sangat ‘berlebihan-lebihan’ berbanding dengan kesalahan yang dilakukan oleh pesalah.

Menurut Timbalan Presiden MIC, Datuk T Murugiah, dengan keadaan pandemik yang sudah mengganggu-gugat ekonomi rakyat, pastinya jumlah mendadak ini sangat merunsingkan.

Lagipun, jelas Murugiah, norma baharu serta garis panduan untuk virus maut ini sedang diadaptasi dalam kehidupan seharian rakyat.

“Saya faham kompaun seumpama ini sebenarnya untuk mendidik masyarakat supaya lebih peka dan tidak sesekali tersilap kerana ianya bukan sahaja membahayakan diri sebaliknya seluruh rakyat.

“Tetapi dalam keadaan rakyat yang sudah terhimpit, sewajarnya mereka tidak dibebankan lagi dengan jumlah kompaun begitu tinggi seperti ini, memang cukup membimbangkan kerana akan memberi kesan kepada individu dan keluarga mereka.

“Walaupun Ketua Polis Negara mendedahkan nilai kompaun sebenar bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) melalui proses rayuan tetapi bukankah proses rayuan tersebut akan mengambil masa, sekali gus  menambah trauma dalam kalangan masyarakat serta mengganggu rutin harian mereka?,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Orang ramai yang didapati melanggar PKP akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 manakala syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000 berkuatkuasa 11 Mac lepas.

Undang-undang itu telah diwartakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Sebelum ini, di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Kata Murugiah lagi, kerajaan disaran untuk mempertimbangkan pengurangan nilai kompaun kepada RM2,000 daripada jumlah RM10,000 itu.

“Selain pengurangan kadar kompaun bagi kesalahan pertama, saya mengesyorkan nilai kompaun digandakan bagi pesalah berulang bagi setiap pengingkaran SOP.

“Aplikasi MySejahtera juga perlu memaparkan sejarah pengingkaran SOP setiap individu bagi mengelakkan sebarang konflik,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Kerajaan akan perincikan kesalahan kompaun RM10,000 – Takiyuddin