Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe menunjukkan dadah jenis methaphetamine bernilai RM225,000 yang dirampas pada sidang media mengenai tiga kes yang berbeza di bu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2021.

GOMBAK – Polis berjaya merampas ketulan dadah jenis methapetamine (syabu) bernilai RM225,000 daripada seorang lelaki tempatan dalam satu serbuan di sebuah kawasan perumahan di Sri Gombakdi sini pada 11 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menemui lima ketulan dadah tersebut
dengan setiap satu seberat satu kilogram.

Katanya, lelaki terbabit berusia 28 tahun dan berstatus bujang serta tidak bekerja.

“Berdasarkan siasatan kita dapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atasnya adalah negatif,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Arifai, suspek dipercayai  terlibat dengan kegiatan haram itu sejak dua bulan lalu.

Ujarnya, suspek dipercayai memperoleh dadah tersebut dari kawasan Lembah Klang dan ia turut dipasarkan di kawasan sama.

Manakala, daripada analisa yang dilakukan kadar dadah yang dimiliki oleh lelaki terbabit boleh dibekalkan kepada kegunaan 10,000 orang penagih dalam masa sehari dengan mengambil kiraan sebanyak 0.5 gram.

Katanya, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Rush daripada suspek dan dia kini direman selama tujuh hari mulai 12 Mac hingga 18 Mac bagi membantu siasatan.

Jelasnya, siasatan akan dibuat bagi mengenal pasti sama ada suspek mempunyai rangkaian pengedaran di tempat-tempat lain.

Tambah Arifai, kes disiasat dibawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Katanya lagi, dengan tertangkapnya suspek terbabit pihaknya percaya telah berjaya menyelesaikan satu lagi kes pengedaran dadah di sekitar Gombak. – MalaysiaGazette