Bangunan Parlimen utama
Bangunan Parlimen

Negara Malaysia memang terkenal masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang tinggal di bawah satu Perlembagaan yang dipegang, dihormati dan dituruti bersama. Malah, keharmonian yang kekal sejak negara merdeka dari jajahan negara asing turut menjadi satu contoh yang baik bagi negara-negara luar.

Hidup dalam pelbagai perbezaan pendapat dan kepercayaan bukan sesuatu yang boleh
dianggap mudah dan senang untuk dihadapi. Namun begitu, rumpun masyarakat Malaysia dianggap unik kerana masih boleh bertoleransi, hormat-menghormati serta memahami kepelbagaian pendapat yang wujud dalam kalangan komuniti masing-masing.

Jika dilihat, masih banyak isu-isu yang melibatkan perkara-perkara sensitif seperti
perkauman dan agama yang terjadi sehingga ke hari ini. Terdapat juga kes-kes yang dibawa sehingga ke mahkamah dan masih berlarutan dalam mencari penyelesaian terbaik.  Ini bukanlah sesuatu yang baru atau pelik apabila berada dalam komuniti yang pelbagai ini, malah ia akan terus berlaku dan menjadi cabaran dalam usaha untuk terus kekal harmoni hidup bersama sebagai satu masyarakat.

Keharmonian yang masih dikecapi sebenarnya adalah hasil daripada sistem demokrasi
berparlimen yang menjadi pegangan masyarakat setempat. Seperti yang telah dinyatakan
oleh Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO, negara Malaysia sepatutnya
bukan menjadi hak peribadi mana-mana pihak dan tidak boleh diperlakukan dengan sesuka hati. Ini termasuklah perihal kebebasan bersuara yang mana mungkin boleh mengganggu sistem demokrasi yang sepatutnya lebih baik dan maju.

Walaupun di dalam Perlembagaan menyatakan tentang hak bersuara dan ekspresi bagi
setiap warganegara, namun kebebasan tersebut masih terbatas dengan wujudnya beberapa akta yang dilihat menyekat kepada hak kebebasan tersebut. Mungkin ramai yang mempertikaikan tentang kewujudan akta-akta yang berkait rapat dengan kebebasan
bersuara. Tanpa sedar, akta-akta sebegini boleh diumpamakan sebagai salah satu batasan
atau cara untuk mencegah perkara yang boleh mengancam perpaduan masyarakat
setempat dan bukan untuk menyekat kebebasan atau hak bersuara secara sepenuhnya.

Sebagai contoh, apabila kebebasan diberikan sepenuhnya untuk bersuara atau berekspresi, seseorang individu akan berpegang kepada kebebasan tersebut untuk mengatakan apa sahaja tentang individu atau sesebuah komuniti tanpa perlu memikirkan kemungkinan akan menyentuh sensitiviti pihak lain. Secara tidak langsung, tindakan ini adalah bertentangan dengan sistem demokrasi yang seharusnya bergerak secara kolektif untuk hasil yang lebih efisien dengan persetujuan bersama.

Tambahan pula, Malaysia juga terkenal kaya dengan adab sopan dan tata susila adat Timur yang memperlihatkan tutur kata dan perlakuan yang baik yang sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat lain. Maka, pasti banyak toleransi yang diperlukan untuk mengamalkan budaya hidup yang sihat ini terutamanya dalam mengelakkan daripada menyentuh sensitiviti bermula daripada peringkat individu.

Disebabkan itu, apakah yang akan terjadi apabila masyarakat unik ini diberikan kebebasan bersuara dan berekspresi sepenuhnya? Seharusnya, masyarakat memandang perkara ini sebagai sesuatu yang positif berbanding sebaliknya. Ini kerana kebebasan yang melampau tanpa apa-apa had atau batasan boleh membawa kepada permasalahan yang besar yang boleh mengganggu ketenteraman dan keharmonian yang kian lama dikecapi.

Dalam hal ini, menolak perundangan atau akta yang diwujudkan boleh dianggap sebagai mementingkan diri sendiri berbanding impak positif secara menyeluruh kepada semua pihak. Disebabkan itu, mungkin ini adalah masa yang sesuai untuk rakyat bersama-sama
merenung kembali maksud sebenar kebebasan bersuara dalam konteks masyarakat
majmuk yang berlatarbelakangkan pelbagai adat dan budaya yang jelas menunjukkan
perbezaan yang kadangkala boleh membawa kepada salah faham dan masalah yang lain.

Mungkin meraikan dan mencari persamaan akan menjadi kunci kepada perpaduan
berbanding mencari salah dan perbezaan dalam kalangan masyarakat. Kesimpulannya,
rakyat sepatutnya faham mengapa batasan perlu ada walaupun dalam hak kebebasan
bersuara demi untuk mengekalkan keharmonian yang sedia ada dan kebaikan bersama.

Dr. Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia
Nilai, Negeri Sembilan

1 Komen

  1. Toleransi dasar apartheid DEB 30% untuk majoriti pribumi Melayu supaya bukan pribumi meraih 70% ekonomi. Syabas Azeris ambil balik Nagorno-Karabah.

Comments are closed.