Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus, PM Ts Dr Che Ghani Che Kob

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui bahawa aktiviti luar kampus banyak menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar institusi pengajian tinggi yang aktif.

Berdasarkan keperluan semasa, pihak Unit Kediaman Luar Kampus, (UKLK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan bengkel Penyediaan Garis Panduan Aktiviti Pelajar Luar Kampus di Scholar Suites, Tanjung Malim, Perak pada 13 dan 14 Mac lalu.

Ia bertujuan untuk memberi pendedahan dan pemantapan aktiviti dalam kalangan pihak pengurusan UKLK yang terdiri daripada empat orang kakitangan pentadbiran dan 18 orang felo.

Pengetua Unit Luar Kampus UPSI, PM Ts. Dr. Che Ghani Che Kob berkata, pengurusan unit kediaman luar kampus mengambil peluang menyediakan panduan lengkap kepada barisan pimpinan pelajar agar mereka faham dan jelas tentang pengurusan aktiviti.

“Skop panduan dibahagikan kepada empat bahagian iaitu program dan penganjuran, carta perbatuan, kewangan dan pelaporan aktiviti,” jelasnya ketika merasmikan penutupan bengkel berkenaan baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah program, Nor Hayati Aziz berkata, pemantapan pengurusan aktiviti ini perlu dan penting kerana UKLK, UPSI harus menyelia dan memantau enam zon kawasan yang telah dibahagikan.

“Anggaran pelajar adalah berjumlah 12,000 orang pelajar dengan disertai 22 orang mahasiswa.

Nor Hayati Aziz

“Penyediaan garis panduan ini akan dijadikan sumber rujukan kepada pelajar yang diamanahkan dan menjalankan tugas sebagai Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus.

“Selain itu, ia bukan sahaja untuk rujukan pelajar malah ia juga untuk Felo Penasihat, Pengurusan Pentadbiran dan Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, seorang peserta, Mohd Raizol Ramli berkata, sebagai seorang felo beliau melihat penyediaan garis panduan pengurusan aktiviti ini sangat relevan kerana ia sangat membantu dirinya dalam memberi nasihat dan memantau perkembangan sesuatu aktiviti pelajar.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan kerana berpeluang untuk sama-sama menyumbang idea dan pandangan bagi memantapkan lagi penyediaan garis panduan ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette