Tiga anggota JPJ direman bantu siasatan kes terima rasuah di Mahkamah Majistret ha pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai tiga anggota Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Muhammad Azam Md Eusoff terhadap tiga lelaki berusia lingkungan 39 hingga 43 tahun.

Tiga suspek direman empat hari bantu siasatan kes rasuah.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Sivaranjani mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu tiga anggota JPJ tiba di mahkamah pada jam 10.30 pagi tadi dengan dengan berpakaian lokap SPRM.

Tiga anggota JPJ ditahan reman di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga anggota itu antara sembilan penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang ditahan semalam.

Mereka disyaki menerima suapan daripada pengusaha-pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lori milik syarikat mereka yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 dan melibatkan isu salah laku.

MalaysiaGazette semalam melaporkan Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa mengesahkan anggotanya ditahan SPRM.

Mereka ditahan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan sekitar Pulau Pinang.

Kesemua pegawai penguat kuasa JPJ itu dipercayai menerima bayaran secara bulanan RM150 hingga RM3,000 sebulan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

Difahamkan, kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak tahun 2019 hingga 2020. – MalaysiaGazette