Shahril Hamdan Formula Rafizi
Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – Hak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencanang kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik antara Pakatan Harapan dengan UMNO.

Lagi pun selama ini Presiden PKR itu tidak henti-henti mendakwa beliau ada majoriti di Parlimen, namun sehingga kini belum terbukti.

Sehubungan dengan itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menegaskan, UMNO tidak perlu menari mengikut rentak orang lain sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan dalaman parti sendiri dan berusaha keras memenangi keyakinan rakyat.

Dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook, Shahril berkata, amat jelas keputusan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2019 masih terpakai malah semua pemimpin tertinggi UMNO berkali-kali menyebut tidak timbul kerjasama dengan PKR dan DAP.

Kata Shahril, pendirian UMNO yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bermaksud UMNO mesti terus bersama dengan orang lain.

Matlamat UMNO tentunya untuk memenangi sokongan rakyat dengan tawaran dan visi yang lebih baik dari pesaing, ujarnya.

Ini kerana tanpa sokongan rakyat, UMNO tidak akan mampu beroleh kedudukan dominan seperti mana diharapkan seluruh pejuang parti yang berpegang teguh kepada sejarah dan potensi UMNO untuk terus mendepani perjuangan agama, bangsa dan tanahair.

Kebelakangan ini hangat diperkatakan tentang wujudnya usaha jalinan kerjasama antara Pakatan Harapan dan UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Cakap-cakap tersebut diperkuatkan lagi apabila Anwar dalam satu temuramah memberi gambaran ke arah kerjasama itu, namun Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang perkara tersebut. – MalaysiaGazette