Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2018.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa berhenti mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kerana dasar itu didakwa menzalimi rakyat.
Ditambah pula pelaksanaan SOP yang tidak jelas dan berubah-ubah serta penguatkuasaan yang tidak adil yang mana wujud unsur amalan membezakan darjat.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, disebabkan itu parti-parti kerajaan sendiri seperti UMNO dan MCA juga menyediakan bantuan guaman kepada mereka yang telah dikenakan kompaun tersebut selain parti pembangkang.
”Saya menggesa kerajaan persekutuan untuk menghentikan dasar zalim ini dengan serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Steven, penguatkuasaan undang-undang Covid-19 harus lebih bersifat mendidik daripada menghukum.
Justeru, kerajaan sepatutnya menurunkan semula kadar denda kepada RM1,000 memperkenalkan denda secara berperingkat yang mana pesalah kali pertama diberikan amaran keras, denda RM500 untuk kali kedua dan denda RM1,000 untuk kali ketiga.
Kerajaan juga diminta menyenaraikan kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan denda dengan jelas agar tidak timbul kekeliruan dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan orang awam secara amnya.
Selain itu, penguatkuasaan undang-undang dengan tegas tanpa membeza-bezakan darjat di mana Menteri dan VIP perlu dikenakan hukuman yang sama dengan rakyat biasa jika melakukan kesalahan yang sama.
Jentera kerajaan juga  harus dikerah untuk memperkasakan 3T (testing, tracing, treatment) sebagai strategi utama melawan Covid-19, bukan mencari kesalahan rakyat dan menghukum dengan berat.
Ini termasuk merancakkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang masih berada pada tahap yang perlahan, ujarnya. – MalaysiaGazette