Gambar hiasan

KOTA TINGGI- Seorang pemandu jengkaut didakwa atas lima pertuduhan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen hari ini kerana membunuh isteri dan memiliki senjata api tanpa permit.

Tertuduh, Hanafi Patahur Rahim, 43, menyatakan faham mengenai pertuduhan itu selepas pertuduhan dihadapan Majistret Rashidah Baharom.

Dia dituduh membunuh isterinya, Noor Hasliza Alias, 38, di kediaman mereka di Taman Sri Saujana, dekat kira-kira jam 3.30 pagi, 1 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Rashidah menetapkan 18 April depan bagi sebutan semula untuk penyerahan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen pula, Hanafi mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan iaitu memiliki dua laras senapang dan memiliki peluru tanpa kebenaran.

Hakim Zahillah Mohammad Yusoff menjatuhi hukuman penjara enam tahun bagi kesemua kesalahan tersebut.

Media pada 5 Mac lalu melaporkan penemuan mayat dalam tong air yang tertanam di sebuah ladang dekat Bandar Penawar, Johor.

Susulan itu, polis menahan suami mangsa kerana dipercayai menembak isterinya menggunakan senapang angin ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi.

Kejadian dipercayai bermotifkan cemburu.- MalaysiaGazette