Shahrir Samad
KUALA LUMPUR РMenteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan didakwa  angkuh sehingga tidak peduli kesesuaian kadar kompaun dengan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Oleh itu, Takiyuddin diminta kembali kepada asas kedudukan jemaah Menteri berdasarkan mandat rakyat dan cukup bilangan di Dewan Rakyat.
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, langkah itu penting agar kuasa tidak membawa kezaliman.
”Apabila berkuasa tanpa had, tidak adanya sebarang semakan dan teguran, maka timbullah sifat keangkuhan dan tidak peduli,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Takiyuddin berkata, kerajaan akan memperincikan kesalahan yang boleh dikenakan kompaun RM10,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 bagi menangani kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 hari ini.
Kenyataan Takiyuddin itu turut dibidas oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang membidas langkah kerajaan Perikatan Nasional untuk memperinci semula kesalahan yang boleh dikenakan kompaun RM10,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.
Beliau mempersoalkan kenapa baru sekarang kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hendak memperincikan pelaksanaan itu sedangkan ia sudah berjalan dan ada pihak yang sudah dikompaun. – MalaysiaGazette