Penasihat Chant, Lee Yan menunjukkan lokasi tanah milik kerajaan negeri di Kampung Sireh, Pulau Tikus yang dipercayai mahu dijual kepada pihak pemaju di George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Citizens Awareness Chant Group (Chant) bimbang selepas pihaknya menerima maklumat ada rancangan untu menjual tanah seluas lima ekar di Kampung Sireh, Pulau Tikus oleh kerajaan negeri.

Penasihat Chant, Lee Yan mahu kerajaan negeri mendedahkan maklumat berhubung berhubung dakwaan itu sekiranya benar.

Beliau mendakwa sehingga kini sudah hampir 879 ekar tanah kerajaan negeri sudah dijual sejak tahun 2013.

Lee Yan.

Yan Lee turut mempersoal tindakan kerajaan negeri yang dilaporkan sering menjual tanah.

Difahamkan, tanah Kampung Sireh milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu terletak di sepanjang Jalan Burma, Lengkok Burma untuk dijual serta untuk kegunaan projek usaha sama dengan pemaju.

“Pihak Chant dapat maklumat ada aktiviti penjualan tanah di kawasan tersebut dan kami gesa kerajaan negeri untuk tampil memberi penjelasan sekali gus membuktikan kerajaan Pulau Pinang bersikap telus,” katanya ketika ditemui pemberita di Lorong Pykett di sini hari ini.

Lee Yan juga tidak menolak penjualan tanah itu dibuat untuk menjana pendapatan susulan belanjawan defisit 2021 dan pilihan raya umum akan datang.

“Tanah berharga antara RM1,000 hingga RM1,500 satu kaki persegi itu tidak akan menguntungkan penduduk Pulau Pinang sekiranya dijual malah ia akan menyebabkan lebih banyak kesesakan lalu lintas,” ujarnya.

Sementara itu,  Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit ketika dihubungi MalaysiaGazette memberitahu tiada perancangan untuk menjual tanah di Kampung Sireh seperti didakwa.

“Tanah itu milik MBPP dan saya sudah semak dengan mereka berhubung dakwaan tersebut memang tidak betul. Ramai penjaja sementara ditempatkan di kawasan berkenaan dan saya dalam perancangan bina kemudahan seperti tandas.

“Sekiranya betul nak jual buat apa saya nak bazir buat itu semua,” katanya. – MalaysiaGazette