Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad, menunjukkan keratan akhbar pada sidang media berkenaan penamat darurat dan respon kepada kenyataan Menteri Undang-Undang di Shah Alam,Selangor. Foto FIKRI YAZID, 17 MAC 2021.

SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Abdul Samad kecewa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung fungsi dan peranan jawatankuasa itu.

Beliau berkata, menteri berkenaan dalam kenyataannya memberi gambaran seolah-olah cuba menakutkan rakyat daripada menandatangani petisyen yang dilancarkan jawatankuasa berkenaan untuk Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat.

Katanya, Takiyuddin mendakwa seolah jawatankuasa itu ditubuhkan tidak berdasarkan undang-undang dan hanya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sahaja boleh berfungsi untuk menasihat Yang di-Petuan Agong.

“Saya amat terkejut dan kecewa dengan cara kenyataan itu di mana ia seperti bertujuan untuk menakut-nakutkan dan menghalang orang ramai yang ingin melihat darurat ini ditamatkan, supaya tidak menandatangani petisen itu.

“Dia juga mendakwa kononnya jawatankuasa ini ditubuhkan tidak berdasarkan undang-undang. Bila rakyat baca kenyataan itu, seolah jawatankuasa yang kita tubuhkan ini bercanggah dan salah dari sudut undang-undang.

“Walaupun bukan itu yang dikatakan tetapi keseluruhan kenyataan berkenaan memberi implikasi yang besar kepada rakyat, lebih lagi ianya dikeluarkan oleh seorang menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Pada Ahad lalu, Takiyuddin dalam kenyataan akhbarnya menyatakan jawatankuasa yang diwujudkan pembangkan itu tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang dalam menamatkan darurat.

Beliau dilaporkan berkata, hanya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 di bawah Ordinan Darurat yang mempunyai kuasa mengikut peruntukan undang-undang, untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, sama ada darurat ditamatkan lebih awal atau pada Tarikh yang ditetapkan iaitu 1 Ogos ini, atau melanjutkannya.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menjelaskan, Takiyuddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus tahu rakyat tidak senang dengan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari lalu.

“Kita sifatkan kenyataan itu cubaan hendak mendiamkan rakyat daripada bercakap mengenai darurat, yang kita semua tahu rakyat tidak senang dengan proklamasi itu,” katanya.

Mengenai dakwaan Takiyuddin jawatankuasa yang ditubuhkan itu tidak mempunyai kuasa dan tidak boleh bersuara, Khalid menegaskan, ia menunjukkan sikap angkuh dan langsung tidak demokratik oleh seorang menteri.

Katanya, Pas sebelum ini adalah sebuah parti yang memperjuangkan demokrasi dan hak rakyat.

“Sikapnya itu seperti hendak memberitahu kepada kami yang kami tidak ada kuasa dan lebih baik diam, yang ada kuasa sahaja yang boleh bersuara, seolah begitu.

“Sedangkan, kita hidup dalam sebuah negara demokratik dan kuasa sebenar adalah pada rakyat dan semua institusi kerajaan termasuk kerajaan itu sendiri adalah yang bersandarkan kuasa rakyat.

“Memang betul, jawatankuasa ini tidak ditubuhkan kerajaan, tetapi untuk mengatakan jawatankuasa ini tidak ada kuasa adalah satu sikap yang memperlekehkan falsafah demokrasi, yang mana rakyat berkuasa,” ujarnya.

Beliau dengan tegas mengingatkan rakannya yang pernah bersama dalam Pas dahulu bahawa ini bukan negara komunis.

“Ini bukan negara komunis ya Takiyuddin. Walaupun kita tidak ada kuasa, rakyat tetap ada hak untuk bersuara dan walaupun ada Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan kerajaan tidak bererti rakyat semestinya hanya mengikut kehendak kerajaan dan menyuarakan bantahan mereka melalui jawatan khas itu.

“Nampak Pas setelah menjadi kerajaan, sudah hilang hala tuju dan jati diri. Apa yang diperjuangkan pada zaman tok guru Nik Abdul Aziz (Nik Mat) dahulu semuanya dibakul sampahkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast