Allahyarham Nazrin Hassan

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa balu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan telah mengemukakan bantahan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung penamaan caruman kredit oleh suaminya, dua  minggu selepas kematian Nazrin.

Noor Hafizah Osman, 36,  Pegawai Akaun KWSP di Jabatan Pengurusan Operasi Pengeluaran KWSP pada 2018 berkata, berdasarkan rekod KWSP, penamaan bagi caruman kredit ahli KWSP bernama Nazrin Hassan telah dinamakan atas nama Eza Shafina Dzulkarnain, 47, yang dibuatnya pada 13 Januari 2011.

“Pada 28 Jun 2018, KWSP menerima bantahan penamaan daripada isteri si mati (Nazrin) bernama Samirah Muzaffar yang dibuat di KWSP Cawangan Kuala Lumpur. Pada tarikh itu, Samirah telah mengemukakan surat bantahan atas nama beliau dan ditandatangani olehnya sendiri,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-45 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Samirah, 46, serta dua remaja lelaki masing-masing kini berusia 17 dan 14 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, menyebabkan kematian Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Noor Hafizah berkata Samirah mengemukakan permohonan bantahan tersebut meminta supaya pihak KWSP membekukan akaun suaminya berikutan wanita itu dalam proses untuk mendapatkan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah.

Katanya lanjutan bantahan oleh Samirah, pihak KWSP pada 6 Julai 2018 melalui Jabatan Pengurusan Operasi Pengeluaran telah mengeluarkan surat kepada wanita itu mencadangkan supaya beliau memfailkan saman pemula di  Mahkamah Tinggi sekiranya ingin membantah pembayaran kredit si mati (Nazrin) yang merupakan ahli KWSP kepada penama  Eza Shafina dan juga mendapatkan perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi dalam tempoh 21 hari bekerja.

“Namun, pihak KWSP tidak dikemukakan dengan sebarang saman pemula atau perintah injunksi daripada Samirah sehinggalah pihak KWSP dimaklumkan bahawa kes kematian Nazrin telah disiasat sebagai satu kes bunuh,” kata saksi itu lagi.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam L.S.Leonard, saksi tersebut berkata sebagai seorang pegawai akaun yang menguruskan bantahan waris di KWSP, beliau sering menerima bantahan berhubung  penamaan KWSP seperti yang dikemukakan oleh Samirah.

“Bantahan begini adalah satu perkara biasa. Tidak ada apa yang luar biasa,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung Isnin depan. – Bernama