Mayat seorang wanita yang ditemui dalam keadaan kesan dijerut pada leher di rumah yang dudukinya pagi tadi di Kajang. Foto: Ihsan IPD Kajang.

KAJANG- Seorang lelaki tempatan yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian kakitangan Ikram Malaysia akan didakwa di Mahkamah Kajang pagi esok.

Sumber memberitahu MalaysiaGazette, polis telah mendapat kelulusan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk menuduh suspek tempatan berusia 57 tahun itu.

“Kami telah melengkapkan kertas siasatan ke atas suspek kes berkenaan dan telah merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

“Pagi ini kami berjaya mendapat kelulusan dan arahan DPP untuk mendakwa suspek di Mahkamah Majistret Kajang sekitar jam 10 pagi esok (Jumaat),” katanya ketika dihubungi petang tadi.

Pada 8 Mac lalu, Ketua Polis Daerah Kajang dalam kenyataan mengesahkan penemuan mayat seorang wanita tempatan dalam keadaan leher dijerut di Bangi, Kajang.

Kemudian identiti wanita itu disahkan sebagai Pengurus Jabatan Advokasi Ikram Malaysia.

Mayat wanita itu ditemui dalam keadaan tertiarap di atas lantai sebuah rumah disyaki disewa di Taman Bangi di sini.

Suspek kemudian ditahan reman tujuh hari untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Ikram dalam kenyataan pada hari kejadian mengesahkan, mangsa yang berusia 32 tahun itu berkhidmat di Ibu Pejabat IKRAM sejak 2013. – MalaysiaGazette