Datuk Ab Ghani Hassan.

KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan yang membenarkan penonton masuk ke stadium bermula 2 dan 3 April ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, beliau optimis keputusan itu bukan sahaja disambut baik oleh penyokong, sebaliknya bakal menjadi suntikan semangat kepada kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M).

Jelas beliau, senario bola sepak Malaysia sudah setahun sunyi tanpa sorakan penyokong sebagaimana kali terakhir penonton dibenarkan ke stadium sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang mana Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan pada 16 Mac lalu.

Katanya, dua perlawanan Liga Super keenam iaitu pertemuan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Melaka United FC pada 2 April ini dan Kuala Lumpur City FC bertemu Sabah FC pada 3 April ini bakal dijadikan projek perintis bagi kemasukan penonton pada perlawanan Liga Malaysia musim ini. – MalaysiaGazette