Mohd Zawawi Ahmad Mughni

KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini khususnya di Selangor digesa supaya merujuk sebarang masalah kepada agensi berkaitan sekiranya berdepan kekeliruan terhadap isu agama.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Zawawi Ahmad Mughni berkata, gesaan itu dilakukan setelah Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita berikutan terdapat segelintir umat lslam khususnya di negeri ini yang mengugut untuk keluar agama apabila berdepan masalah.

“Berkongsilah masalah anda dengan pihak berkaitan termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kerana mereka bersedia berkhidmat untuk anda.

“Janganlah sesuatu masalah diselesaikan melalui emosi yang tidak menentu kerana ia boleh memberikan jalan keluar yang salah. Melalui perkongsian rasa dan pengalaman ia akan memberikan jalan keluar terbaik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kelmarin, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam kenyataan bertitah baginda berdukacita terhadap segelintir umat Islam yang tidak berhati-hati dalam berkata-kata hingga menjejaskan akidah dan agama.

Titah baginda, apa jua iktikad (pernyataan dalam hati), percakapan atau perbuatan untuk keluar dari agama dikhuatiri boleh tergelincir akidah.

Justeru Zawawi Ahmad berkata, pihaknya menyambut baik ingatan baginda terhadap umat Islam itu.

“Sebagaimana titah Tuanku, Islam dan iman adalah satu anugerah dan nikmat dari Allah SWT kepada umat Islam, maka hendaklah kita menjaganya dengan baik dan penuh kesabaran dalam apa juga situasi termasuk dalam keadaan selesa atau kepayahan.

“Sesungguhnya tanda iman dan Islam seseorang itu adalah melalui perkataan, perbuatan dan penerimaan hati. Oleh itu hendaklah berhati-hati dengan tiga perkara ini agar tidak terlanjur meruntuhkan Iman dan Islam,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast