Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berucap pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Panel Of Experts Kementerian Belia dan Sukan di Hotel Le Meridien, Putrajaya . Foto HAFIZ SOHAIMI, 19 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melantik seramai 25 orang individu mengganggotai Jawatankuasa Panel Pakar yang berperanan untuk memberi nasihat dan pandangan konstruktif terhadap dasar dan program yang dilaksanakan oleh kementerian.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, selain itu, jawatankuasa tersebut akan menjadi pelengkap kepada idea-idea baharu dalam pembangunan belia dan sukan negara serta membantu kementerian dalam aspek komunikasi dasar dan program- program strategi.

Jelas beliau, para panel juga akan melihat secara khusus pembangunan belia dan sukan dalam beberapa bidang utama seperti pembangunan ekonomi belia, pendigitalan dan Revolusi Industri 4.0.

Selain itu, ia juga melihat kepada pembangunan kemahiran dan latihan belia, pembangunan kapasiti, pendekatan sukan untuk semua dan Pembangunan Industri Sukan berlandaskan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

“Pelantikan ini sebagai satu lagi kolaborasi strategik KBS dalam mendapatkan idea dan pandangan baru mengenai pembangunan belia dan sukan. Kita perlu akui bahawa dalam dunia yang begitu cepat, dihubungkan dengan teknologi ledakan, perubahan landskap geo-politik dunia dan sebagainya yang memberikan impak yang cukup besar.

“Adakalanya kita terlepas pandang dan tidak dapat mencerap dengan baik-perubahan ini. Justeru, Panel Jawatankuasa Pakar ini diharapkan akan dapat melengkapi, memberi nilai tambah dan seterusnya memperkuat langkah asas dan inisiatif kita untuk belia dan sukan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian surat pelantikan kepada Jawatankuasa Panel Pakar di sini hari ini.

Antara penerima-penerima surat Pelantikan Panel Of Experts Kementerian Belia dan Sukan di Hotel Le Meridien, Putrajaya . Foto HAFIZ SOHAIMI, 19 MAC 2021.

Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah merupakan pengerusi jawatankuasa panel tersebut.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, kementerian yakin dengan pelantikan jawatankuasa yang sama terdiri daripada setiap individu yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang masing-masing.

Sementara itu, pelantikan panel-panel berkua kuasa pada 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast