Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas tidak akan kembali menjalinkan kerjasama politik dengan PKR dan DAP seperti mana yang dilakukan ketika menyertai Pakatan Rakyat sebelum ini.

Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, prinsip Pas adalah untuk menyelamatkan negara dan rakyat, bukan pemimpin serta parti tertentu.

Bagaimanapun, beliau berkata, terpulang kepada PKR untuk mengadakan kerjasama politik dengan parti lain.

“Itu terpulang kepada dia (PKR), negara demokrasi boleh kerjasama asal bukan dengan parti Komunis sudahlah. Parti yang berdaftar, dia boleh dengan sesiapa pun..

“PKR, DAP…itu kita (Pas) sudah ada pengalaman sejak tahun 1998, 1999 hingga (terputus), sudah 20 tahun lebih, cukuplah. Jadi, biar dia (PKR) selesai dahululah, dia ‘lemas’,” ujarnya.

“Kita (Pas) sudah kerjasama dahulu. (Sekarang) Tak ada, tak ada…Pas sudah berapa tahun (dengan PKR). Kita bukan nak selamatkan ‘orang’ (pemimpin), nak selamatkan parti…Pas nak selamatkan negara.

“Kerjasama untuk nak selamatkan individu, selamatkan kumpulan, tak ada. Kita (Pas) nak selamatkan negara, selamatkan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Pada 16 Mac lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan parti itu akan menjalinkan kerjasama dengan UMNO pada pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, Hadi yakin Pas akan menjadi sebuah parti yang kuat dan kukuh.

“Kita (Pas) dalam keadaan yang selamat dan semakin hari, makin kuat. Kerjasama baharu kita ialah dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), dengan UMNO (dan) termasuklah dengan rakan-rakan parti di Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak.

“Juga termasuk dengan parti-parti yang bergabung dengan rakan kita di Sabah dan Sarawak,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast