tommy AIAC
Tommy Thomas
KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Puad Zakarshi mengingatkan supaya pendedahan yang dibuat oleh Tan Sri Tommy Thomas dalam buku memoirnya jangan disenyapkan.
Sebaliknya, Kerajaan Perikatan Nasional wajar segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  untuk menyiasat bekas Peguam Negara itu, apatah lagi beratus-ratus laporan polis telah dibuat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, banyak alasan kenapa RCI terhadap Tommy perlu dibuat.
Pertama, Peguam Negara Tan Sri Idris Harun mendakwa buku memoir Tommy jelas menghina institusi perundangan negara.
Menurut Idris memoir itu dihasilkan oleh “pemikiran yang dangkal kerana pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami institusi perkhidmatan awam”.
Kedua Tommy mendedahkan, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak atas cadangannya.
”Apakah itu bermakna perlantikan “Hakim Hakim Atasan” telah mengenepikan peranan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC)? Sebab itu RCI penting dituduh segera,” katanya.
Ketiga, banyak pihak mendakwa buku memoir itu bertentangan dengan Seksyen 26 Akta Keterangan 1950 apabila Tommy didakwa melanggar Akta Rahsia Rasmi.
Sedangkan, selaku penasihat utama kerajaan beliay terikat dengan kerahsiaan di bawah Artikel 145.
Keempat, benarkah penerbit kepada buku memoir ini adalah think tank kepada DAP, maka motif buku memoir tersebut penuh dengan fitnah termasuk menghina Allahyarham Tun Abdul Razak?
Kelima, Tommy menuduh penjawat awam adalah dungu dan beliau dikecam teruk oleh JALSOA (Persatuan Perkhidmatan Kehakiman) kerana penghinaan itu.
Malah, kata Mohd Puad, Tommy turut menghina keputusan Hakim Mahkamah Koroner mengenai pembunuhan MuhammadAdib Kassim apabila menyatakan keputusan itu adalah “absurd”.
Keenam, Tommy tuduh Yang di-Pertuan Agong mahu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menjadi perdana menteri untuk menggantikan Dr Mahathir.
“Apakah Tommy menuduh Agong bermain politik?,” soalnya.
Ketujuh, Mohd Puad berkata, pendedahan Tommy kenapa dia tidak mendakwa 12 orang penyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)  setelah mendapat persetujuan Tun Mahathir juga amat menggusarkan.
Apatah lagi, menurut Tommy, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri mahu 12 orang itu didakwa.
”Dan banyak lagi kontroversi yang didedahkan oleh Tommy yang perlu disiasat secara bebas. Justeru segerakan RCI terhadap Tommy demi memelihara imej keadilan, perundangan dan integriti hakim negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette