Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid dan anaknya, Siti Aafiyah Khalid pada Majlis Pelancaran Beausiti X Wonderlab memperkenalkan produk Beaukids di Skyglass Designer Event Hall, Cyberjaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak mahu menjadi alasan sarat hamil untuk mengurangkan aktiviti seninya ketika ini.

Siti Nurhaliza, 42, yang  bakal melahirkan cahaya mata kedua bulan depan berkata, dia juga akan menyambut sambutan Jubli Perak iaitu genap 25 tahun pembabitannya dalam dunia persada seni suara.

“Alhamdulillah, kandungan saya makin membesar dengan sihat. Insya-Allah, saya bakal melahirkan anak kedua, bulan depan. Niat asal, saya mahu berehat sepanjang hamil. Malah, ia juga sudah dimaklumkan kepada pasukan kerja.

“Namun, ada pula kerja pada saat akhir yang perlu dibereskan. Saya anggap ini sebagai rezeki, jadi saya perlu menyelesaikannya dengan segera sebelum berehat panjang,” ujar Siti yang bakal mendapat anak lelaki.

Beliau ditemuipada majlis 2 Legasi yang turut memperkenalkan anaknya, Siti Aafiyah sebagai duta kecil produk minuman kesihatan di bawah jenamanya sendiri iaitu Beaukids Aafiyah di Cyberjaya, baru-baru ini.

Siti Nurhaliza bersama anaknya, Siti Aafiyah Khalid bergambar bersama produk Beaukids pada Majlis Pelancaran Beausiti X Wonderlab memperkenalkan produk Beaukids di Skyglass Designer Event Hall, Cyberjaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 MAC 2021.

Pada majlis itu, Siti turut memperdengarkan single terbaharu berjudul Medley Klasik Siti 1 yang bakal dimuatkan dalam album klasik kanak-kanak yang menjengah pasaran April depan.

Mengulas pembikinan album klasik itu, isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa itu berkata, kebanyakan lagu yang dirakamkan adalah lagu kesukaannya pada zaman kanak-kanak.

“Album ini memuatkan enam lagu dan lagu Medley Klasik Siti 1 mengandungi lagu Buai Laju-Laju, Tepuk Amai-Amai, Suriram dan Bunga Matahari. Lagu Bunga Matahari ini sering dinyanyikan ketika tadika.

“Selain itu, saya turut merakamkan lagu lama, Anakku Sazali yang digubah liriknya menjadi Anakku Sayangku bersesuaian dengan nyanyian seorang ibu untuk anaknya. Selain itu, saya mencipta lagu khas untuk bayi yang bakal lahir berjudul Anakanda.

“Konsep lagu ini berbeza sedikit kerana saya membuat dalam bentuk Inang dan melodinya digabungkan dengan lagu Ikan Kekek,” ujar Siti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast