KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi kekal sebagai pemimpin politik yang mendapat sokongan besar di negara ini.
Sokongan ini bukan sahaja dalam kalangan rakyat yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (14) tetapi juga akar umbi parti PKR itu sendiri.
Ini terbukti melalui kaji selidik yang dijalankan dua organisasi media baru-baru ini berhubung parti manakah menjadi pilihan pengundi pada PRU ke-15 kelak dan PKR berada pada kedudukan pertama, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Thiban Subbramaniam.
Beliau berkata demikian ketika ditanyal tentang kedudukan Anwar yang didakwa sudah hilang sokongan berikutan sejak 14 Ahli Parlimen melompat dan menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Yang melompat itu semuanya wakil rakyat bertanding atas tiket PKR, yang memberikan undi kepada mereka adalah rakyat yang juga menyokong PKR ketika itu, soal sokongan kepada Anwar tidak muncul ketika ini.
“Yang jadi persoalan adalah sokongan terhadap golongan ‘katak’ ini bila kembali bertanding nanti pada PRU 15 nanti.
“Rakyat mempercayai mereka kerana parti PKR, sokongan kepada PKR juga boleh ditafsirkan sokongan kepada Anwar, presiden kami. Malah akar umbi masih kekal menyokong beliau sehingga kini.
“Sokongan terhadap Anwar tidak pernah hilang, itu hanya cakap-cakap golongan yang sebenarnya iri hati dengan kekuataan dimiliki oleh yang sehingga kini tidak dapat dijatuhkan walaupun pelbagai percubaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurutnya, akar umbi PKR masih lagi kekal setia dengan Anwar walaupun masa untuk beliau menjadi perdana menteri belum tiba.
“Tetapi untuk bercakap atau mempersoalkan kekuataan mahupun sokongan beliau, itu tidak logik.
“Kepimpinan beliau masih lagi diperlukan untuk meneraju PKR dan ternyata PKR masih lagi menjadi pilihan rata-rata rakyat walaupun hanya dalam satu kaji selidik, parti ini ditubuhkan atas dasar reformasi diilhamkan oleh beliau,” ujarnya.
Sejak langkah Sheraton, daripada 50 Ahli Parlimen dalam kalangan PKR, 14 daripadanya telah bertindak meninggalkan parti itu untuk menyokong PN yang terajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada 28 Februari lalu, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dan Ahli Parlimen Julau, Sarawak, Larry Sng Wei Shien menyatakan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin, sekali gus meninggalkan PKR.
Terbaharu, Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat juga mengumumkan keluar PKR dan menyokong Muhyiddijn serta PN.
Tidak lama selepas pengumuman Xavier, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi gambaran akan ada lagi beberapa ahli Parlimen PKR yang akan lompat parti.
Kata Thiban, tindakan wakil rakyat ini tidak boleh langsung dikaitkan dengan sokongan terhadap Anwar sebaliknya lebih kepada agenda masing-masing.
“Betul saya mengaku belasan Ahli Parlimen PKR telah gugur dalam perjuangan reformasi dengan pelbagai alasan diberi tetapi biarlah rakyat memberi jawapan kepada tindak tanduk pada PRU kelak.
“PKR masih utuh bawah Anwar, itu sangat pasti. Rakyat juga tahu malah akar umbi juga masih setia dengan perjuangan reformasi ini. Banyak juga alasan yang diberikan atas alasan lompat-lompat ini termasuklah jawatan serta peruntukan tidak mencukupi untuk rakyat.
“Itu masalah mereka, yang kekal setia akan kekal termasuklah pengundi di luar sana. Golongan yang ada agenda serta ‘haters’ pula boleh terus mengeluarkan pelbagai tohmahan dan dakwaan tapi yang setia tetap tidak akan sesekali berganjak,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan persoalan mengapakah seseorang seperti Xavier yang sebati dengan perjuangan reformasi dan begitu setia sebagai penyokong Anwar bertindak keluar.
“Saya tidak akan sesekali menyalahkan kerajaan PN mahupun SPRM sebaliknya ingin bertanya Xavier sendiri mengapakah anda bertindak meninggalkan parti yang pernah ‘beri’ semuanya kepada anda?
“Apa yang anda takutkan kini? Sebagai seorang reformis, mengapa tidak kamu berjuang dan lawan?
”Rakyat nampak, mereka bukan buta jadi kamu jangan lupa. Jika benar-benar perjuangan kamu untuk rakyat, bersara sahaja dan beri peluang kepada orang lebih layak,” tegasnya. -MalaysiaGazette