Sebuah bas persiaran tiba di premis keduataan bagi membawa kesemua kakitangan dan pegawai pejabat susulan arahan kerajaan yang memberi tempoh 48 jam kepada pihak kedutaan Korea Utara meninggalkan Malaysia di Kedutaan Korea Utara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Sebuah bas persiaran kelihatan memasuki pekarangan Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Bukit Damansara di sini pagi ini.

Bas berwarna putih dan hijau itu dipercayai akan dinaiki kakitangan dan ahli keluarga pejabat diplomatik itu tiba kira-kira jam 9.11 pagi.

MalaysiaGazette dimaklumkan bas terbabit akan membawa kesemua warganegara Korea Utara itu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 10 pagi ini sebelum diterbangkan ke negara asal mereka.

Terdahulu, petugas media tempatan dan antarabangsa mula berkumpul di perkarangan pejabat diplomatik seawal pukul 7 pagi tadi selain sebuah kereta peronda polis juga dilihat memantau perkarangan bagi memastikan prosedur operasi standard  dipatuhi.

Pada Jumaat lalu, kerajaan mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil selepas Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Chol Myung ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 susulan waran tangkap mengikut Seksyen 13 (1) (b) Akta Ekstradisi 1992 susulan dakwaan konspirasi penggubahan wang haram serta melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019. Permohonan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi pada 29 Disember tahun sama dan rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober tahun lalu ditolak selepas mahkamah mendapati permohonan dan rayuannya tidak berasas di bawah Akta Ekstradisi.

Korea Utara pada Jumaat mengumumkan pihaknya memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Menurut Kementerian Luar Pyongyang, ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke AS awal bulan ini.

Kementerian itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS. – MalaysiaGazette