Chow Kon Yeow (kiri) membuang undi pada pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang di SPICE Arena hari ini.

GEORGE TOWN – Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berjaya mempertahankan kedudukannya selepas meraih kemenangan besar pada konvensyen biasa DAP Pulau Pinang hari ini.

Kon Yeow memperoleh undi sebanyak 1,211 sekali gus menjadi individu paling pengaruh dalam DAP Pulau Pinang.

Untuk rekod, Kon Yeow mempertahankan jawatan Pengerusi DAP negeri sejak 1999.

Selain Kon Yeow, Lim Hui Ying iaitu adik kepada Setiausaha Agung DAP turut berjaya mengekalkan jawatan dalam kuasa negeri DAP dengan meraih sebanyak 980 undi.

Sementara itu, anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh tewas dalam pemilihan jawatankuasa penggal yang baharu.

Bagaimanapun, abangnya Jagdeep Singh Deo yang juga Timbalan Pengerusi negeri bagi penggal 2018-2020 menang selesa apabila meraih sebanyak 655 undi.

Jagdeep dilantik sebagai Naib Pengerusi Negeri manakala jawatannya disandang P. Ramasamy apabila berjaya meraih 826 undi.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari menjadi satu-satunya calon pemimpin Melayu yang berjaya meraih 920 undi. -MalaysiaGazette