KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih di Terengganu menafikan beliau terlibat dalam kes cabul isteri rakannya baru-baru ini.
Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid sebaliknya mendakwa, laporan polis yang dibuat pasangan suami isteri berkenaan pada 16 Mac lalu adalah rekaan semata-mata dan bertujuan menjatuhkan reputasinya.
Astro Awani melaporkan, Wan Ahmad Nizam yang merupakan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata, beliau dan isterinya tidak pernah bermalam di rumah pasangan itu di Taman Melawati, Ampang sebagaimana dakwaan.
“Saya ada kediaman sendiri di Kuala Lumpur, saya dan isteri tidak bermalam di rumah suami isteri itu. Laporan ini dibuat untuk mengaibkan saya,” katanya.
Semalam, media melaporkan, seorang ahli politik bergelar Datuk didakwa mencabul isteri rakan baiknya di rumah wanita itu di Taman Bukit Melawati, di Kuala Lumpur tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dilaporkan berkata, polis menerima laporan kejadian daripada mangsa berusia 48 tahun Selasa lalu.
Menurutnya, wanita itu mendakwa suspek berusia 50-an bersama isterinya berkunjung dan turut bermalam di rumahnya sekitar Julai dan Ogos tahun lalu.
Menurut Wan Ahmad Nizam, beliau sudah menjangka perkara itu akan berlaku susulan ugutan awal yang diterimanya daripada rakan baiknya itu pada Ahad lalu.
Mendedahkan kepada media, beliau mendakwa, rakannya itu ada berhutang dengannya sebanyak RM200,000 tetapi kerana gagal melunaskannya dan persahabatan mereka menjadi renggang sejak September tahun lalu.
“Ahad lalu kira-kira jam 4 petang, dia bersama isteri datang ke rumah saya di Geliga, katanya untuk berbincang tentang hutang.
“Tiba-tiba saya ditumbuk dua kali, di samping kepala serta badan dibaling dengan pasu bunga secara bertubi-tubi hingga saya tidak boleh bangun, sebelum dia berlalu pergi.
“Saya maklumkan padanya akan melaporkan kejadian itu kepada polis dan dia mengugut saya agar tidak berbuat demikian atau dia akan membuat sesuatu yang boleh memalukan saya.
“Tiba-tiba keluar cerita saya mencabul isterinya,” jelasnya.
Susulan kejadian itu, Wan Ahmad Nizam membuat laporan di Balai Polis Chukai, Terengganu sebelum rakannya itu ditahan polis di Ampang, Selangor pada Jumaat lalu.
Rakannya itu bagaimanapun dibenar diikat jamin. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Polis buka kertas siasatan wanita dakwa dicabul ahli politik