Banjir buruk melanda di kawasan Sydney, Australia. foto agensi

SYDNEY – Ribuan penduduk diarahkan berpindah berikutan banjir buruk akibat hujan lebat yang melanda kawasan tenggara Australia.

Hujan lebat yang berpanjangan sejak tiga hari lalu menyebabkan air sungai melimpah di wilayah New South Wales (NSW).

Perkhidmatan kecemasan NSW berkata, paras banjir dijangka lebih tinggi berbanding banjir yang pernah dialami sejak November 1961, lapor Reuters.

“Kami menjangkakan cuaca buruk akan berterusan sehingga Rabu ini.

“Akibat kejadian, hampir 2,000 penduduk sudah dipindahkan dari kawasan tanah rendah,” katanya.

Kakitangan Perkhidmatan Kecemasan Negeri sedang membawa salah seorang doktor dari pinggir bandar Windsor ke North Richmond bagi merawat mangsa akibat banjir besar dan cuaca buruk di Sydney, Australia. foto agensi

Sementara itu, menurut Biro Kaji Cuaca, sebahagian besar kawasan pantai timur Australia turut dilanda hujan lebat mulai hari.

“Ia disebabkan oleh gabungan taufan tropika di bahagian utara Australia Barat serta sebuah kawasan tekanan rendah pesisir di NSW,” ujarnya.

Amaran banjir buruk turut dikeluarkan bagi sebahagian besar kawasan berhampiran di NSW serta Queensland. -MalaysiaGazette