Gambar hiasan. Foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk Seri mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan cabul serta mengaibkan kehormatan anak kandung antara Julai tahun lalu sehingga awal Januari tahun ini.

Pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh yang berusia 49 tahun itu dibuat setelah pertuduhan-pertuduhan itu dibaca di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Tertuduh yang menyelinap masuk ke dalam mahkamah awal pagi supaya tidak disedari oleh sekumpulan jurugambar dan wartawan kelihatan tenang ketika pertuduhan-pertuduhan itu dibacakan pagi tadi.

Untuk pertuduhan pertama, ahli perniagaan yang memiliki beberapa unit kedai runcit serta pasar raya mini didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan anak perempuannya.

Dalam kertas pertuduhan menyebut itu didakwa dilakukan pada 16 Julai tahun lalu, di antara jam 1 hingga 2 pagi di ruang tamu sebuah rumah di Taman Kosmo Jaya, Sentul, di sini.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 9 Januari lalu di hadapan bilik tidur di sebuah rumah di Taman Kosmo Jaya, Sentul, di sini.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan.

Manakala bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa dengan sengaja mengeluarkan perkataan yang mengaibkan kehormatan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan pada 17 Julai tahun lalu di dalam kereta di antara jam 12.45 malam hingga 1 pagi.

Timbalan Pendakwa Raya, Md Azahari Abu Hanit memohon supaya wang jaminan sebanyak RM100,000 dikenakan ke atas tertuduh yang juga dikatakan seorang ahli perniagaan berjaya berdasarkan gaya hidupnya.

“Kita kena lihat juga betapa seriusnya kes ini, tertuduh telah melakukan perbuatan ini terhadap anaknya sendiri.

“Kita juga mohon supaya mahkamah meminta tertuduh menyerahkan pasport dan larangan mengganggu saksi dan mangsa sepanjang tempoh perbicaraan,” katanya

Bagaimanapun, menurut Puravelan yang mewakili tertuduh, sehingga kes ini dibawa ke mahkamah, suspek telah memberikan kerjasama cukup baik dan jaminan sebanyak RM100,000 adalah sangat tinggi.

Beliau turut memberikan contoh-contoh kes seumpama itu yang mengenakan jaminan sebanyak RM4,000.

Majistret kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi semua pertuduhan itu oleh seorang penjamin, sebelum menetapkan 27 April depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Awal bulan ini, media mendedahkan mangsa yang juga seorang penuntut itu mendakwa menjadi mangsa cabul dan gangguan seksual suspek sejak 10 tahun lalu.

Suspek melakukan perbuatan terkutuk itu ke atas mangsa ketika dia berusia 10 tahun dan ia dilakukan di kediaman mereka.

Kerana tidak tahan kerana terus diperlakukan seumpama itu mangsa kemudian bertindak membuat laporan polis pada 14 Januari lepas. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast