Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad menyempurnakan simbolik perasmian Aplikasi Makanan Halal Oda Jee di sebuah hotel di Kuantan.

KUANTAN – Syarikat pengendali aplikasi makanan halal pertama di Malaysia mensasarkan seramai lima juta pengguna bakal memuat turun aplikasi Ode Jee pada tahun ini secara berperingkat-peringkat selepas beroperasi sejak Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ode Jee, Yussaini Ali berkata, sasaran itu seiring dengan peluasan sayapnya di Pahang, Kelantan dan Terengganu secara serentak mulai April ini.

Selepas itu, jenama yang bertapak di Johor ini akan meneroka pula peluang di Lembah Kelang, utara Semenanjung, Sabah serta Sarawak.

Ode Jee menawarkan perkhidmatan pesanan makanan dan minuman patuh syarak, sesuai dengan kehendak pasaran semasa.

Sehingga kini, Ode Jee sudah 300 vendor berdaftar di Pahang, manakala 250 vendor lagi di Kelantan dan Terengganu.

Di Lembah Kelang, di utara, Sabah dan Sarawak pula, Ode Jee menyasarkan seramai 1,000 vendor setiap negeri pada suku kedua atau ketiga.

“Kita sasarkan perkhidmatan ini akan dimuat turun sebanyak 5.0 juta pada akhir tahun ini, bermula dengan satu juta pertama.

“Sasaran ini selari dengan perkhidmatan yang ditawarkan yang memberi pilihan aplikasi yang benar-benar halal kepada pengguna khususnya umat Islam,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Aplikasi Halal di sini.

Majlis Pelancaran aplikasi halal pertama di Malaysia dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Dalam pada itu, Menurut Syed Ibrahim berkata, perkara melibatkan halal dan haram bukans sahaja memberi daya tarikan kepada orang Islam bahkan kepada seluruh penduduk Malaysia.

“Seperti yang disebutkan oleh bekas Mufti Johor, Datuk Noh Gadut, ini satu aplikasi yang ambil berat tentang halal haram. Apabila ada pengegesahan halal orang ramai yakin dari sudut kebersihan, penyediaan, penghantaran,  servis sempurna dan terjamin pembekalannya,” katanya – MalaysiaGazette.