MBPP tunda kenderaan yang menghalang lalu lintas di sekitar Jelutong hari ini.

GEORGE TOWN – Tindakan pemilik kenderaan yang parkir di tepi jalan sekitar daerah Timur Laut menjadi punca kesesakan jalan raya di kawasan berkenaan.

Lebih teruk, apabila segenlintir penghuni apartmen dan kondominum mewah parkir berhampiran kawasan kediaman mereka hingga menghalang lalu lintas termasuk menyukarkan pihak berkuasa melalui kawasan berkenaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Lebih 200 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan pihak polis menerusi Ops Halangan di sekitar Jelutong hari ini.

Bertindak atas aduan orang awam Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjalankan Ops Halangan di sekitar Jelutong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kira-kira 200 saman dikeluarkan BSPT dalam Ops Halangan yang berakhir jam 2 petang tadi.

Soffian Santong.

Katanya, kebanyakan pemilik kenderaan didapati tidak meletakkan kenderaan mereka dengan betul sekali gus menghalang lalu lintas di kawasan terbabit.

Jelas Soffian, keadaan itu turut menyebabkan kawasan terbabit mengalami kesesakan teruk.

“Tindakan segelintir pemandu meletakkan kenderaan sesuka hati ini bukan saja menghalang lalu lintas malah menimbulkan masalah sekiranya berlakunya sesuatu kecemasan di kawasan berkenaan.

Lebih 200 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan pihak polis menerusi Ops Halangan di sekitar Jelutong hari ini.

“Kita boleh lihat sendiri di mana-mana saja kereta diletak tepi jalan, di kawasan garisan kuning hingga menyebabkan jalan dua hala menjadi sempit.

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan kekurangan tempat letak kenderaan di apartmen serta kondominium didiami menyebabkan mereka parkir di luar tetapi impaknya sangat besar buat masyarakat sekeliling,” katanya ketika ditemui sebaik selesai operasi hari ini.

Tambah Soffian, saman turut dikeluarkan melibatkan kesalahan trafik lain seperti tiada lesen memandu serta tidak memakai topi keledar.

Seorang lelaki disaman kerana tidak memakai topi keledar.

“Selain itu, pihak MBPP turut tunda lima buah kenderaan yang di parkir di tepi jalan raya dalam operasi terbabit,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Soffian menegaskan tindakan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kelancaran trafik di Daerah Timur Laut. – MalaysiaGazette