4.Forum Inspirasi Usahawan Alumni menjadikan universiti sebagai platform terhadap membentuk dan membina graduan berketrampilan, selaras dengan cabaran era Revolusi Perindustrian keempat

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan forum Inspirasi Usahawan Alumni secara dalam talian hari ini.

Ia merupakan salah satu inisiatif membantu bakal graduan mendapatkan petua dan nasihatberkaitan bidang kepakaran oleh panel jemputan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, inisiatif yang diambil itu merupakan langkah tepat dalam menyahut cabaran pengajian norma baharu ketika era pandemik Covid-19.

Katanya, sebagai sebuah pusat pengajian pendidikan terulung, UPSI sentiasa cakna dengan keperluan semasa pendidikan negara menerusi penganjuran program-program berkaitan untuk melahirkan mahasiswa berkualiti dalam memenuhi aspirasi negara.

“Inisiatif yang diambil oleh pusat tanggungjawab UPSI dan USIM ini merupakan suatu nilai tambah yang amat tepat demi menyokong hasrat negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 hingga 2025 untuk melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang,” katanya dalam kenyataan.

Program yang berlangsung kira-kira 90 minit itu menampilkan dua personaliti alumni iaitu Pengasas Tahfiz Al Fatonah dan Maahad Gemilang, Shahrulkarnain Mohd Nazir (alumni USIM) serta Pengusaha Kuhot Food Resources, Mohamad Azmi Ahmad (alumni Anak Kandung Suluh Budiman, UPSI).

Menariknya, selain berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang perniagaan dan ilmu keusahawanan kepada graduan, kedua-dua panel jemputan turut menawarkan program perintis kepada graduan yang berkelayakan untuk menyertai syarikat mereka.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Alumni UPSI, Rasyidi Johan berkata, penglibatan alumni secara sukarela dalam aktiviti dan program anjuran universiti amat penting dalam membantu melestarikan perkembangan kerjaya pelajar sebaik mereka melangkah keluar daripada pusat pengajian.

“Hubungan erat pihak universiti, alumni dan pelajar amat bermakna dalam mengembangkan sahsiah pelajar sekaligus membantu meningkatkan keupayaan pelajar dan alumni mengembangkan potensi masing-masing,” jelasnya.

Selain itu, menurut Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya USIM, Mohd Asri Hussain, program seumpama ini menjadikan universiti sebagai platform untuk membentuk dan membina graduan berketrampilan selaras dengan cabaran era Revolusi Perindustrian keempat.

“Hari ini graduan perlu bersiap-siaga menghadapi lanskap baru ekonomi global dengan meneroka bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya utama dan tidak hanya bergantung kepada pekerjaan semata-mata,” ujarnya.

Program Inspirasi Usahawan Alumni anjuran UPSI dan USIM turut mendapat sokongan pentadbiran alumni universiti-universiti awam Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknikal Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza). – MalaysiaGazette