Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases deaths Malaysia
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan sejumlah 811 kluster Covid-19 telah dikesan selama tiga bulan bermula Januari tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 41 kluster dikesan melibatkan pusat pengajian tinggi, sekolah rendah dan pusat tahfiz.

“Sebanyak 15 kluster pusat pengajian tinggi, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster pra-sekolah dan sekolah rendah, serta lima kluster yang melibatkan pusat tahfiz dan madrasah yang telah dilaporkan dalam tempoh hampir tiga bulan ini.

“Ini termasuklah tiga kluster baharu yang diumumkan pada hari ini iaitu Kluster Paloh Rambai, Kluster Merinding, dan Kluster Persiaran Maktab,” kata Dr Noor Hisham.

Daripada jumlah itu, 2,228 kes diterima KKM melibatkan institusi pendidikan tinggi (IPT) sebanyak 1,058 kes, peringat sekolah menengah 631 kes, pra sekolah dan rendah 419 kes dan lain-lain kategori 120 kes.

KKM turut memaklumkan, terdapat lapan kluster baharu dikesan pihaknya melibatkan tujuh kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.

Kluster Persiaran Maktab dikesan di daerah Klang, Hulu Langat, dan Gombak di Selangor yang melibatkan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Persiaran Maktab Bandar Sri yang menjangkiti tujuh individu.

Kluster Bandar Sri pula menjangkiti 12 individu melibatkan sebuah syarikat perkhidmatan yang terletak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Kluster Tenegang pula dikesan di Kinabatangan melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang menjangkiti 20 kes.

Kluster Paloh Rambai turut menjangkiti 20 individu yang melibatkan kakitangan dan pelajar-pelajar beberapa buah pusat pendidikan di Kota Bharu, Kelantan.

Empat lagi adalah Kluster Perusahaan LPK yang dikesan di sebuah kilang melibatkan 41 kes, Kluster Merinding yang melibatkan sebuah pusat pendidikan dengan lima kes, Kluster Putra Satu melibatkan sembilan kes.

“Kluster ini melibatkan kakitangan sebuah pusat pentadbiran awam yang terletak di Presint 1, Wilayah Persekutuan Putrajaya,” kata Noor Hisham.

Terakhir adalah Kluster Siasai Tamu yang melibatkan satu majlis sosial yang berlangsung di Kampung Siasai Tamu, Kota Belud pada 14 Mac 2021.

Sebanyak 11 kes positif Covid-19 direkodkan kluster komuniti itu. – MalaysiaGazette