Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Mohd Rokman Che Awang (kanan) memantau keadaan tempat tinggal pekerja kilang pembuatan mi yang bertempat di Ulu Kepong, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 25 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Sebuah kilang membuat mi di Kepong diberi notis amaran selepas gagal menyediakan tempat tinggal selesa kepada kesemua 86 pekerja warga asing hari ini.

Pengarah Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan, Che Mohd Rokman Che Awang berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah tempat tinggal pekerja yang sempit serta tidak mematuhi tahap keselamatan di kediaman pekerja berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di tempat kediaman pekerja warga asing, didapati syarikat gagal mematuhi Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Mohd Rokman Che Awang bercakap kepada media selepas melaksanakan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 446 dan Akta 342 yang bertempat di Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 25 MAC 2021.

“Majikan gagal mengemukakan perakuan penginapan dan ini merupakan satu kesalahan termasuk Peraturan 4 dalam menyediakan katil, tilam, bantal selimut yang diwajibkan.

“Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut mengeluarkan satu notis arahan pindah kepada syarikat terhadap 86 pekerja asing yang di gajikan di bawah syarikat ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu Che Mohd Rokman mengetuai operasi bersepadu pematuhan Akta 446 dan Akta 342 bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Taman Bukit Maluri di sini.

Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia memeriksa keadaan dalam kilang pembuatan mi ketika Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 446 dan Akta 342 yang bertempat di Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 25 MAC 2021.

Beliau juga berkata, majikan atau penyedia tempat tinggal boleh dikenakan hukuman berat jika masih berdegil dan tidak usaha menambah baik kediaman terbabit dalam masa 14 hari.

“Jika sabit kesalahan majikan dan penyedia tempat tinggal itu boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM200,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga turut menjalan operasi sama di 50 syarikat lain, membabitkan pasaraya dan tapak bina sekitar Kuala Lumpur.

“Kita juga ada menjalankan pemeriksaan di hypermarket dan jalankan Pemeriksaan pematuhan di rumah penginapan pekerja,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast