Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media berhubung Program Imunisasi Covid-19 di Bangunan Annex, Shah Alam, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MAC 2021.

SHAH ALAM –  Proses pemberian vaksin di kawasan perindustrian di Selangor akan dipercepatkan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya, ini kerana Selangor merupakan negeri yang menyumbang kepada  pendapatan ekonomi negara namun sehingga kini negeri itu masih mencatatkan kes harian positif Covid-19 yang tinggi berbanding negeri lain.

“Menteri Besar dan saya telah setuju. Jemaah menteri telah mengarahkan saya agar memberi tumpuan kepada negeri Selangor sebagai negeri pemacu ekonomi dan negeri di mana buat masa ini masih ada kadar jangkitan tinggi terutama di kawasan industri.

“Jadi kita akan percepatkan pemberian vaksin kepada kawasan industri-industri tertentu terutamanya kilang-kilang yang mempunyai ramai pekerja,” katanya ketika sidang media bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sidang media itu dibuat selepas Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Selangor di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan juga akan bekerjasama dengan kilang-kilang di negeri itu untuk memuktamadkan pelaksanaan  pemberian vaksin kepada pekerja-pekerja.

“Kita akan senaraikan kilang-kilang ini dan kita akan kerjasama dengan syarikat-syarikat untuk melaksanakan vaksinasi di kilang atau asrama mereka jadi mereka tidak perlu keluar,” katanya lagi.

Sementara itu, Khairy memuji tahap tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan penduduk Selangor untuk menjadi penerima vaksin Covid-19.

“Selangor merupakan negeri tertinggi pemberian vaksin, tahniah yang semakin hampir selesai pemberian vaksin di bawah fasa pertama.

“Selangor juga tertinggi dari segi pendaftaran. Kalau kita tengok ratio pendaftaran kepada populasi pendaftaran untuk peringkat kebangsaan adalah 26.9 peratus tetapi di Selangor ratio pendaftaran kepada populasi sasaran adalah 38. 5 peratus,” katanya. -MalaysiaGazette