Keadaan rumah yang rosak akibat kejadian puting beliung di Alabama AS semalam.-pix Agensi.

ALABAMA –  Sekurang-kurangnya lima maut dalam kejadian puting beliung yang melanda sebahagian selatan Amerika Syarikat (AS) semalam.

Kehadiran puting beliung itu disahkan menerusi radar dan dihebahkan oleh Perkhidmatan Cuaca Nasional (NWS) di Birmingham menerusi Twitternya pada jam 4.30 petang waktu tempatan.

Berikutan kejadian, NWS telah mengeluarkan amaran kepada semua penduduk tempatan agar menyelamatkan diri berikutan cuaca buruk yang melanda daerah Shelby dan Jefferson serta kawasan di selatan dan timur bandar Birmingham.

Menurut laporan Sputnik, kejadian tersebut telah merosakkan hampir 60 rumah dan bangunan di bandar Pelham sehingga menjejaskan hampir 36,000 penduduk.

Gabenor Alabama, Kay Ivey mendesak penduduk supaya mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan diri dan harta benda.

“Lebih banyak ribut dan puting beliung dijangka berlaku pada setiap malam, harap semuanya selamat dan berjaga-jaga,” katanya dalam satu ciapan menerusi Twitternya semalam.

Sehubungan itu, di laman poweroutage.us mencatatkan lebih daripada 35,000 pengguna di Alabama masih terputus bekalan elektrik. – MalaysiaGazette