KUANTAN – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang meminta orang ramai memastikan fakta yang betul sebelum berkongsi maklumat bagi mengelakkan tercetus keadaan panik dan salah faham dalam masyarakat.

Ia berikutan tular di laman media sosial malam tadi bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan dilaksanakan di Taman Guru, di sini, bermula jam 12.01 pagi 26 Mac.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, malah kandungan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang uar-uarkan itu tidak tepat.

“Tarikh dinyatakan perlaksanaan PKPD Di Taman Guru 26 Mac hari ini tidak betul,” katanya hari ini.

Terdahulu tular di laman media sosial bahawa Taman Guru akan dikenakan PKPK berikutan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak daripada Kluster Gambang sejak kelmarin.

Menurut Mohd Zairasyahli, sekiranya PKPD akan dilaksanakan di sesuatu lokasi adalah lebih baik Menteri Pertahanan mengumumkannya. – MalaysiaGazette.