Annuar Musa
KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa menzahirkan rasa dukacita kerana menurut beliau Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 kurang membicarakan tentang agenda Melayu dan Islam.
Dalam hantaran di laman Facebook, Annuar berkata, beliau telah menghadiri PAU sejak tahun 1981 dan tahun ini merupakan tahun ke-40.
Katanya, ucapan-ucapan semasa PAU 2020 yang bermula hari ini semakin ghairah  menyerang sesama parti Melayu, dan semakin banyak diselit dengan sindiran-sindiran sesama UMNO.
“Mungkin inilah norma baharu kita,” katanya.
Dalam satu lagi hantaran, Menteri Wilayah Persekutuan itu menyifatkan PAU kali ini menjadi medan orang-orang besar dan ahli Majlis Kerja Tertinggi bercakap.
Katanya, orang d bawah mungkin tiada wakil untuk bersuara, namun tetap berpeluang untuk melihat, mendengar dan menimbang dengan bebas.
“Tiada sesiapa boleh memaksa sesiapa. Yang penting kita cintai parti kita. Kita mahu parti kita berjaya,” katanya. – MalaysiaGazette