Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Seorang guru sekolah rendah dan seorang individu dari institusi pendidikan antara sembilan kluster baharu penularan Covid-19.

Lima daripadanya kluster tempat kerja manakala selebihnya kluster komuniti termasuk guru sekolah di Sarawak dan kluster institusi pendidikan di Pasir Gudang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.

Sabah melaporkan dua kluster iaitu Inanam Taipan dan Jalan Kastam Baru manakala Johor dan Kuala Lumpur masing-masing mengesahkan satu kluster iaitu Jalan Kong Kong (Johor) dan Tapak Bina Bulatan Pandang di Kuala Lumpur diikuti Kluster Jalan Putra Square Pahang dan Kluster Gong Kulim di Kelantan.

Kluster Jalan Kong Kong dikesan di Pasir Gudang membabitkan tempat kerja yang mana kes indeks ke-337, 340 adalah dikesan positif di sebuah institusi pendidikan menerusi hasil saringan pada 25 Mac lalu dan sehingga hari ini sejumlah 154 orang disaring dan lapan sah positif.

“Kluster Jalan Kastam Baru pula membabitkan kluster pusat pentadbiran awam di Lahad Datu dikesan positif hasil saringan individu bergejala semalam apabila 51 individu disaring dan enam daripadanya positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham juga menambah Sarawak memiliki tiga kluster sepertimana menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini iaitu Kluster Jalan Gridbid, Daerah Miri, Kluster Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu dan Kluster Kampung Baru Hilir, Samarahan.

Ujar beliau, Kluster Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu Sarawak adalah kluster tempat kerja yang dikesan di perumahan kerajaan yang mana indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-14,035 merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 50 tahun yang bertugas sebagai seorang guru sebuah sekolah rendah di Sungai Tisang telah dikesan positif melalui saringan individu bergejala pada 20 Mac lalu di Hospital Bintulu.

Guru berkenaan berkemungkinan telah mendapat jangkitan melalui jangkitan komuniti di Bintulu  yang mana hasil siasatan lanjut dan pengesanan kes secara aktif terhadap ahli keluarga, kontak tempat kerja dan kontak kasual kepada indeks kes itu ada tambahan 41 orang kes positif dikesan dari lokaliti tersebut.

“Justeru sejumlah 152 individu telah disaring dan 42 kes telah dikesan positif, 92 kes adalah negatif; dan 18 kes masih menunggu keputusan.

“Semua 42 orang kes positif tersebut telah dirujuk ke Hospital Bintulu telah dimasukkan ke PKRC di Bintulu bagi tujuan rawatan lanjut dan pengasingan,” katanya.

Manakala Kluster Jalan Gridbid, Lutong, Miri merupakan kluster komuniti yang merupakan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 71 tahun seorang pengusaha ladang sawit yang mengalami demam dan batuk sejak 10 Mac lalu di Ulu Teru telah dikesan melalui saringan individu bergejala pada 16 Mac di Hospital Miri.

Individu berkenaan melawat anaknya di Miri dan telah menghadiri majlis sosial (miring ) yang telah diadakan pada 5 Mac lalu di Kampung Pasir, Miri.

Kluster Kampung Baru Hilir, Samarahan juga kluster komuniti yang mana indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-13,684 merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 65 tahun yang bekerja sendiri sebagai buruh binaan dan pernah ke kerja di Miri dari 2 hingga 12 Mac lalu.

Dia telah dikesan melalui saringan individu bergejala pada 19 Mac di Klinik Kesihatan Sadong Jaya.

Dia dilaporkan telah bekerja bersama lima lagi rakan lain di kampung sama dan kesemuanya positif Covid-19 dan jangkitan ini telah merebak kepada individu lain di kampung tersebut melalui pergaulan dan kontak rapat dan turut dikesan di Daerah Samarahan, Kuching dan Serian.

Hasil siasatan lanjut dan pengesanan kes secara aktif terhadap ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual kepada indeks kes ini, tambahan 72 orang kes positif telah dikesan dari lokaliti tersebut manakala sejumlah 802 individu telah telah disaring yang mana 73 kes positif dan 727 kes adalah negatif.

Sementara dua kes masih menunggu keputusan,ujar beliau sepertimana dalam kenyataan Kesihatan Sarawak.

Dr. Noor Hisham juga menjelaskan Kluster Inanam Taipan Sabah melibatkan kluster pekerja premis perniagaan di Kota Kinabalu dan setakat ini 25 individu disaring dan sembilan daripadanya positif.

Menurutnya, kluster di Pahang membabitkan pekerja kilang perindustrian di Kuantan manakala di Kuala Lumpur merupakan pekerja tapak binaan di Kampung Pandan yang disahkan positif menerusi hasil saringan bersasar dan setakat ini 14 daripada 108 individu yang disaring disahkan positif.

Perkembangan terkini kluster-kluster di negara ini setakat ini sebanyak 1,344 dilaporkan dan sebanyak 952 telah ditamatkan termasuk 10 hari ini.

Kesemua 10 kluster berkenaan yang dimaksudkan ialah Kluster Jalan Gemilang Satu, Kluster Jalan Scientex Jaya, Kluster Kampung Pulau Raja, Kluster Jalan Putra Silang, Kluster Tapak Bina Persiaran Puteri, Kluster Casa Permai, Kluster Renggam, Kluster Seruling, Kluster Jalan Mega Teknologi dan Kluster Tapak Bina Persiaran Mutiara.

Sebanyak 392 kluster masih aktif dan 66 lagi menyaksikan pertambahan kes baharu hari ini dan kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Kampung Baru Hilir yang mempunyai 29 kes dan Kluster Persiaran Cassia Selatan sebanyak 25 kes.- MalaysiaGazette