PDRM police Nilai stepfather drugs boy
PDRM

IPOH – Orang awam digemparkan dengan penemuan mayat dalam bungkusan kanvas selain bangkai seekor ayam berdekatan mayat itu, di tepi jalan berhadapan sebuah restoran di KM 57, Jalan Gerik-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Lubok Merbau pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Anuar Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat dipercayai lelaki tempatan yang identitinya belum dikenal pasti itu kira-kira 10.15 pagi.

“Mangsa dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 40-an berdasarkan parut suntikan pada bahu sebelah kiri dan disyaki telah meninggal dunia dalam tempoh kurang daripada 36 jam.

“Selain itu, seekor ayam yang telah mati turut ditemukan berhampiran mayat berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika ditemukan, mangsa yang berkemeja dan berseluar pendek didapati mempunyai kesan luka pada bahagian kanan kepalanya.

Anuar berkata, mangsa yang ditemukan di lokasi yang jauh dari kawasan kejiranan dan laluan utama daripada Gerik ke Kuala Kangsar itu, dipercayai mati di tempat lain sebelum ditinggalkan di kawasan berkenaan.

“Tiada dokumen pengenalan diri ditemukan bersama mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut setakat ini.

“Semakan terhadap laporan orang hilang akan dilakukan dengan segera bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan siasatan lanjut sedang diteruskan berdasarkan bukti diperolehi di tempat kejadian. – Bernama