Malaysia telah membuat bayaran kos penangguhan pelaksanaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), kata Kementerian Pengangkutan republik itu.
Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia membayar sebanyak RM320,270,519,24 (S$102,815,576.00) kepada Kerajaan Singapura untuk membiayai kos yang dikeluarkan untuk pembangunan projek pembinaan kereta api laju (projek HSR) dan lanjutan penangguhan projek itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Menteri Pengangkutan Singapura dalam kenyataan bersama berkata, bayaran itu dibuat selepas Kerajaan Malaysia dan Singapura memuktamadkan pampasan berkenaan penamatan perjanjian dua hala projek itu pada 31 Disember 2020.
”Kedua-dua negara mencapai persetujuan baik mengenai jumlah tersebut setelah proses pengesahan oleh Kerajaan Malaysia.
”Jumlah ini merupakan penyelesaian penuh dan terakhir berkaitan dengan penamatan perjanjian dua hala,” kata mereka.
Kedua-dua negara tetap komited untuk menjaga hubungan baik dan menjalin kerjasama erat untuk kepentingan bersama kedua-dua negara, kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette